Tuesday 8 December 2015

Kajian Bahasa : Dialek Sosial 'Whatsapp' Dalam kalangan Mahasiswa

Oleh : Haniff Asyraf

Bahasa Mencerminkan Keperibadian Seseorang


PENDAHULUAN

Umum mengetahui bahawa negara kita iaitu Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang bangsa. Antara kelompok bangsa yang besar ialah masyarakat Melayu, Cina, dan India. Selain itu, terdapat juga masyarakat bumiputera yang lain seperti masyarakat Orang Asli. Mereka menggunakan bahasa ibunda mereka tersendiri untuk berkomunikasi dengan orang lain. Namun demikian, kedudukan bahasa Melayu mempunyai kedudukan yang tinggi di Malaysia. Penggunaannya yang meluas telah menyebabkan bahasa ini tersebar dengan cepat. Hasilnya, bahasa utama yang diserap ini telah dipecahkan kepada beberapa subbahasa. Subbahasa ini muncul disebabkan oleh faktor pengguna dan penggunaan (Halliday, 1968). Kedua-dua faktor ini telah menyebabkan berlakunya variasi bahasa. Perbezaan yang timbul ini telah menarik minat para pengkaji untuk mengkaji aspek variasi bahasa yang dipengaruhi oleh masyarakat. Oleh itu, muncullah dialek geografi dan dialek sosial. Dalam kajian ini, kita akan memperkatakan tentang dialek sosial.

1.0 PENGENALAN

1.1 Latar Belakang kajian

Secara definisi, dialek sosial merujuk kepada kelainan bahasa yang dapat dibezakan secara tegas daripada bahasa yang lain melalui ciri lafaz, kosa kata dan tatabahasa disebabkan oleh kumpulan penutur (Matthews & Holmes, 1992 : 140). Menurut Asmah Hj Omar (1991 :31), dialek-dialek yang terdapat di Semenanjung Malaysia telah dikelompokkan kepada lima kawasan utama iaitu kelompok barat daya yang terdiri daripada kelompok Kedah, Perlis, Pulau Pinang yang meliputi Perak Utara, sementara kelompok Timur Laut diwakili oleh dialek Kelantan, seterusnya kelompok Timur yang meliputi Terenggganu, selanjutnya kelompok Selatan yang meliputi dialek yang dituturkan di Johor, Melaka, Pahang, Selangor dan Perak Selatan dan akhirnya kelompok yang mewakili dialek Negeri Sembilan. Kumpulan sosial lazimnya ditentukan menerusi ciri seperti pendidikan, pekerjaan, tempat kediaman, dan tahap pendidikan.

Dalam kajian ini, kita akan menganalisis tentang dialek sosial yang digunakan oleh kelompok kecil pelajar lelaki di sebuah universiti awam di uatara Malaysia. Kajian ini akan bertumpukan kepada aspek pengaruh dialek dalam aplikasi ‘Whatsapp’.

1.2 Definisi Konsep

Dialek merupakan satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau sesuatu kelas sosial dan berbeza daripada bahasa standard dan loghat  (Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka Edisi ke-4). Dialek juga boleh boleh dirujuk sebagai bahasa yang berbeza dari segi sebutan, kosa kata dan tatabahasa daripada bahasa baku. Dialek sering digunakan dalam keadaan situasi tidak rasmi seperti dalam perhubungan kekeluargaan dan perhubungan harian. Menurut Nik Safiah Karim (1995), dialek dirujuk sebagai jenis bahasa yang digunakan dakam percakapan di sesebuah daerah atau bahagian negeri yang mempunyai pelat sebutan khas dan berbeza daripada sebutan standard yang digunakan di negara ini. Sebutan bahasa baku merupakan suatu bentuk yang telah dikodifikasi bagi menghasilkan satu variasi bahasa baku yang sempurna dan seragam di bawah Perancangan Korpus Bahasa Melayu.


2.0 OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian ini bertujuan untuk :

a) Menghuraikan dialek sosial dalam kalangan mahasiswa dalam aplikasi ‘Whatsapp’.
b) Mengenal pasti dan mengumpul data tentang kata ganti nama dan pemilihan frasa dalam aplikasi ‘Whatsapp’.
c) Mengenal pasti pengaruh dialek dalam perhubungan.

3.0 KEPENTINGAN KAJIAN

Hasil kajian ini penting untuk :

a. Memperlihatkan kelainan kata ganti nama dalam dialek ‘Whatsapp’.
b. Menambah bahan dokumentasi tentang kajian dialek.
c. Dijadikan sebagai panduan dan rujukan dalam pengajaran.


4.0 SKOP KAJIAN

4.1 Isu Kajian

Fokus kajian ini menjurus kepada penggunaan kata nama dan frasa yang digunakan dalam aplikasi ‘Whatsapp’ oleh mahasiswa. Aspek – aspek ini kemudiannya akan dibandingkan dengan bahasa Melayu baku.

4.2 Tinjauan Literatur

Dalam kajian bahasa yang telah ditulis oleh sarjana tempatan, terdapat banyak aspek dalam memperkatakan tentang dialek sosial. Dalam dialek bahasa Melayu, dialek – dialek yang digunakan mengikut kawasan seperti dialek Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, dan sebagainya. Dialek sering digunakan dalam dalam situasi tidak rasmi dan perbualan harian. Hal ini ditentukankan oleh faktor geografi atau faktor sosial. Perbezaan ini dapat dilihat berdasarkan kawasan kumpulan penutur yang berbeza. Abdul hamid Mahmood (2006) menyatakan bahawa penggunaan dialek dapat dibezakan dari segi sebutan, kosa kata, kata ganti nama, tatabahasa, dan gaya lagu bahasa. Bagi Nik Safiah Karim (1995) dialek merujuk kepada jenis bahasa yang digunakan dalam percakapan di sesebuah daerah atau bahagian negeri yang mempunyai sebutan yang khas, dan berbeza daripada sebutan umum. Nik Safiah Karim (1961), beliau menyatakan bahawa dialek Kelantan telah mengambil banyak kata daripada bahasa Melayu dan telah disesuaikan dengan pengucapan dialek tersebut.

5.0 BATASAN KAJIAN

Kajian ini hanya tertumpu kepada kelompok kecil mahasiswa sahaja. Oleh itu, setiap aspek yang telah dikaji ini tidak menggambarkan penggunaannya dalam keseluruhan komuniti masyarakat.

6.0 KUMPULAN SASARAN

Pengkaji telah memilih sekumpulan pelajar universiti awam di utara Malaysia dan mempunyai kumpulan tersendiri dalam aplikasi ‘Whatsapp’. Kumpulan tersebut terdiri daripada 17 orang pelajar yang datang daripada pelbagai latar. Empat orang daripadanya datang daripada negeri Kelantan, seorang daripada negeri Selangor, dan selebihnya berasal daripada utara Malaysia.



7.0 KAEDAH KAJIAN

Bahagian ini akan menjelaskan cara pengkaji mendapatkan data sebagai bahan kajian, kaedah penganalisisan data dan cara persembahan dapatan kajian. Perbincangan ini berdasarkan data yang dikemukakan dalam jadual dan lampiran yang berkenaan.

7.1 Mendapatkan Data

7.1.1 Kajian Perpustakaan

Kaedah ini digunakan dengan cara mkerujuk bahan – bahan seperti buku teks dan bahan rujukan di perpustakaan untuk mendapatkan maklumat tambahan tentang kajian. Oleh itu, kami telah mengunjungi perpustakaan awam untuk mendapatkan bahan bacaan yang berkaitan dengan dengan dialek. Antara bahan tersebut ialah buku – bku ilmiah dan tesis yang telah dihasilkan oleh sarjana tempatan. Di samping itu juga, kami turut melayari laman sesawang untuk mendapatkan maklumat tambahan berkaitan kajian.





7.1.2 Kaedah Pemerhatian

Kami akan melakukan kaedah pemerhatian ini dengan melihat cara sesuatu dialek dihasilkan. Pengkaji lebih menumpukan cara dari segi sebutan dialek itu terhasil. Oleh itu, pengkaji dapat menilai dan mengjangkakan dialek yang mungkin akan digunakan dalam aplikasi ‘Whatsapp’.

7.1.3 Kaedah Kerja Lapangan

Dalam kaedah ini, pengkaji akan turut serta dalam perbualan kelompok ini. Pengkaji juga akan terlibat dalam anggota kumpulan ‘Whatsapp’. Oleh itu, pengkaji dapat memahami budaya kelompok kajian.


7.2 Pengumpulan Data

Pengumpulan data dijalankan bagi membolehkan pengkaji menganalisis dan membahagikan data – data dalam kategori yang dipilih. Pengkaji akan berada bersama kelompok mahasiswa dalam tiga minggu untuk mendapatkan data. Pengkaji juga akan menemu bual beberapa orang mahasiswa untuk mendapatkan gambaran tentang budaya yang dibawa oleh mereka. Pengkaji menganggap bahawa data – data yang dikumpulkan dapat membantu kajian berdasarkan ketetapan objektif kajian. Fokus kajian ini ialah dialek sosial ‘Whatsapp’ dalam kelompok kecil mahasiswa.

7.3 Penganalisisan Data

Pengkaji telah menganalisis data – data seperti cetakan skrin, hasil temu bual, dan kerja lapangan. Penilaian terhadap penggunaan aplikasi ini dalam kelompok kecil mahasiswa mendapati bahawa terdapat beberapa perkara unik yang dapat dibentangkan dalam kajian ini. Berdasarkan batasan yang telah dibuat, pengkaji hanya melihat aspek – aspek seperti kata ganti nama, sebutan, dan frasa yang digunakan oleh kelompok ini.

8.0 DAPATAN KAJIAN

Dalam bahagian ini, pengkaji akan memaparkan dapatan kajian dan akan menjelaskan isu – isu yang menjadi objektif kajian ini dijalankan. Fokus kajian ini ialah penggunaan kata ganti nama, sebutan, dan frasa.

8.1 Kata Ganti Nama

Dalam kata ganti nama, terdapat dua dialek yang telah digunakan iaitu dialek sosial utara iaitu di Pulau Pinang dan Kelantan. Kata ganti diri ini tidak ketara dengan bahasa Melayu baku. Antaranya ialah aku, hang, kawe, demo. Kehadiran dialek Kelantan dalam kelompok ini mempengaruhi dialek utama di utara berkemungkinan disebabkan oleh mahasiswa Kelantan yang sedikit menyebabkan rakan – rakan yang lain terpengaruh dengan dialek tersebut.

Selain itu, terdapat juga pengaruh dialek Tamil seperti macha dan ane. Pengaruh ini hadir dalam kelompok ini disebabkan persekitaran di sekitar kampus. Hal ini disebabkan oleh kehadiran kedai mamak. Hal ini meungkin disebabkan oleh mereka ingin menyapa pekerja di kedai – kedai tersebut. Oleh itu, dialek ini juga mempengaruhi dialek utama mahasiswa.
Struktur penggunaan kata ganti nama ini juga mengikut hokum tatabahasa bahasa Melayu kerana berada di hadapan predikat. Sebagai contoh, dalam dialog pada Jadual 1, penggunaan ‘macha’ berada di hadapan predikat.

8.2 Pemilihan Perkataan

Dalam aspek pemilihan perkataan, terdapat perkataan yang boleh diketengahkan dalam kajian ini. Mereka sering menggunakan perkataan ‘jahat’ dalam perbualan harian sama ada di dalam atau di luar aplikasi ‘Whatsapp’. Kepentingan perkataan ini dalam kelompok ini ialah perkataan ini mempunyai banyak maksud mengikut konteks sesuatu ayat. Dalam bahasa Melayu, perkataan ‘jahat’ merujuk kepada perkara negatif, tidak baik atau buruk tingkah laku (Dewan Bahasa Pustaka Atas Talian). Namun, penggunaannya dalam kelompok ini merentasi makna sebenar. Keunikan ini boleh dilihat semasa mereka berkomunikasi dalam memperihalkan kecantikan, perkara baik, manipulasi keadaan, dan sebagainya.

Dalam Jadual 3, sebagai contoh, hasil kajian mendapati bahawa perkataan ‘jahat’ boleh membawa kepada perihal memanipulasikan sesuatu keadaan. Hal ini disebabkan oleh mereka tidak ingin perbualan mereka difahami oleh orang lain yang di luar kelompok mereka. Dalam contoh ayat dalam Jadual 3, pemilihan perkataan tersebut telah mengubah maksud sebenar yang ingin disampaikan. Hanya satu perkataan digunakan untuk menyatakan ayat ‘Jahat awek tu’ iaitu ‘Jahat’ yang merujuk kepada ‘Comel awek itu’. Oleh itu, orang lain tidak akan memahami maksud tersirat yang ingin disampaikan kepada rakannya dan memudahkan mereka untuk berkomunikasi.

8.3 Pemilihan Frasa

Perkara yang menarik ialah dalam pemilihan frasa dalam kelompok mahasiswa ini. Mereka mempunyai kod - kod unik bagi memberi mesej kepada rakan yang lain dan berkemungkinan orang lain tidak memahaminya. Mereka menggunakan dua perkataan untuk melahirkan sesuatu frasa dan seperti telah dikodkan ke dalam kelompok ini. Antaranya ialah ‘Lek luhh’, ‘Sepam dulu’, dan ‘PES luhh’. Kekuatan frasa yang digunakan juga sangat kuat kerana menggunakan penekanan pada perkataan awal. Hasilnya, mesej sebenar yang ingin di sampaikan hanyalah pada perkataan pertama manakala perkataan kedua penambah bagi menyedapkan mesej tersebut. Penyedap ayat yang sering digunakan ialah ‘luh’ dan ‘dulu’. Dalam bahasa Melayu standard, hal ini merujuk kepada ‘dahulu’. Penyedap ayat ini juga boleh dikategorikan ke dalam ayat partikel kerana boleh digabungkan dengan mana – mana perkataan seperti ‘jalan dulu’, ‘jap lu’, ‘mandi lu’ dan sebagainya.


9.0 RUMUSAN

9.1 Hasil daripada analisis kajian mendapati bahawa beberapa objektif kajian telahpun terjawab. Objektif pertama iaitu menghuraikan dialek sosial dalam kalangan mahasiswa dalam aplikasi ‘Whatsapp’. Hasil analisis ini membuktikan bahawa kelainan bahasa yang dapat dibezakan secara tegas daripada bahasa yang lain melalui ciri lafaz, kosa kata dan tatabahasa disebabkan oleh kumpulan penutur (Matthews & Holmes, 1992 : 140). Jelaslah bahawa definisi yang ditakrifkan oleh Matthews dan Holmes (1992) kuat dan terbukti melaui kajian ini.

9.2 Bagi objektif kedua iaitu mengenal pasti dan mengumpul data tentang kata ganti nama, perkataan pemilihan frasa dalam aplikasi ‘Whatsapp’. Pengkaji telah menggunakan beberapa kaedah pengumpulan data dan memperoleh maklumat yang menarik dalam kajian ini seperti penggunaan perkataan ‘jahat’ yang membawa kepada banyak makna.

9.3 Bagi objektif ketiga pula iaitu mengenal pasti pengaruh dialek dalam perhubungan, pengkaji telah memperoleh gambaran bahawa persekitaran sememangnya memainkan peranan penting dalam pemilihan dialek khususnya dalam aplikasi ‘Whatsapp’. Melalui interaksi sekeliling, kelompok ini meyerap dan menggunakannya dalam perbualan harian khususnya dalam aplikasi ‘Whatsapp’.

10.0 PENUTUP

Kajian ini membuktikan bahawa terdapat beberapa keunikan dialek dalam kelompok kecil mahasiswa dalam penggunaan aplikasi ‘Whatsapp’. Kelaianan yang ditonjolkan oleh kelompok mahasiswa ini memanglah tidak mewakili keseluruhan anggota masyarakat tetapi mungkin boleh mempengaruhi masyarakat melalui penggunaan aplikasi ‘Whatsapp’. Dialek yang digunakan oleh kelompok mahasiswa ini tidak hanya berkisarkan dalam perbualan dalam aplikasi ‘Whatsapp’ semata- mata tetapi juga dalam perbualan harian. Dialek juga mempunyai pengaruh besar dalam kelompok ini kerana pertembungan dialek utara dan Kelantan telah menyebabkan pengaruh dialek kecil iaitu Kelantan cepat meresap ke dalam kelompok ini yang rata – rata tinggal di sekitar utara Malaysia iaitu Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan, Perak. Oleh itu, kajian ini diharap dapat membantu pengkaji untuk memahami dialek sosial yang digunakan oleh golongan remaja seperti kelompok mahasiswa dalam kajian ini.

RUJUKAN

Asmah Haji Omar. (2008). Susur Galur Bahasa Melayu, Dewan bahasa Pustaka.

Zaharani Ahmad. (1989). Dialektologi generative dan kepelbagaian dialek melayu. Jurnal Dewan Bahasa, 33(6), 402-414

Pecahan Dialek, http://nota-budak-ipg.blogspot.my/2012/12/pecahan-dialek.html

Isu Bahasa dan Dialek, http://isubahasa-dialek.blogspot.my/

Perbandingan Dialek Melayu Kelantan Dengan Bahasa Melayu Standard Dalam lirik Lagu, http://lukybloger.blogspot.my/2014/12/perbandingan-dialek-melayu-kelantan.html

No comments:

Post a Comment