Wednesday 17 September 2014

Refleksi Semasa Internship Di SMK Syed Alwi, Perlis

Alhamdulillah, saya dapat melaksanakan tugasan yang telah diberikan oleh pihak USM iaitu, Latihan Internship selama sebulan di sekolah – sekolah yang dipilih sendiri oleh pelajar. Saya telah memilih SMK Syed Alwi sebagai tempat bagi saya untuk melaksanakan latihan ini. Latihan internship saya mengambil masa 18 hari pada bulan Ramadan. Oleh itu, berkat bulan Ramadan ini saya berharap semuanya berjalan dengan lancar.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak sekolah kerana sudi menerima kehadiran saya dan rakan saya, iaitu Azlili b Ahmad Sabri. Kehadiran kami disambut baik oleh guru – guru aliran perdana. Terdapat juga guru yang memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada kami bagi berhadapan dengan pelajar – pelajar terutamanya pelajar pendidikan khas. Tuan pengetua, En. Kaman b Halit juga turut memberi banyak nasihat kepada kami semasa terjumpa dengan kami. Pihak PPKI juga yang diketuai oleh Penolong Kanan Pendidikan Khas, Puan Zurainie bt Mat Jas juga memberi kerjasama yang baik kepada kami berdua. Guru – guru pendidikan khas turut memberi kerjasama yang baik kepada kami berdua. Mereka selalu menyuruh kami bergaul dengan mereka. Oleh itu, kami telah dapat menyesuaikan diri dengan kelompok guru – guru pendidikan khas.

Terdapat banyak kenangan yang masih kekal dalam ingatan saya. Antaranya ialah Haikal Syafiq, walaupun dia mengalami masalah pertuturan, dia mampu untuk menyusun kad ayat yang telah diselerakkan di atas meja. Selain itu, kenangan menjadi guru pengawas semasa peperiksaan pertengahan tahun bagi kelas PPKI juga masih di ingatan saya kerana jawapan pelajar yang salah membuatkan saya ingin membantu mereka. Semasa saya diminta untuk menggantikan guru, kenangan menjaga dan mengawal kelas menjadi motivasi kepada saya untuk bersabar dengan pelajar. Hal ini kerana mereka nakal dan mengganggu rakan lain. Semangat untuk menang juga wajar dicontohi kerana mereka sentiasa ingin memenangi kuiz yang telah dilaksanakan oleh kami berdua.

Kemahiran interpersonal saya juga meningkat. Hal ini kerana saya selalu berkomunikasi dengan guru, pelajar, dan ibu bapa pelajar. Pada permulaannya, saya agak kekok, saya akhirnya mampu berkomunikasi dengan baik apabila berhadapan dengan mereka. Saya berpendapat bahawa saya harus menggunakan nada suara yang berbeza untuk berhadapan dengan mereka seperti tegas dan lembut untuk memudahkan mereka berhadapan dengan saya.

Sistem yang digunakan oleh pihak PPKI juga membuka mata saya. Pihak PPKI telah menyediakan laci kepada setiap pelajar. Hal ini bagi mengatasi masalah pelajar yang sering lupa untuk membawa buku dan membuat kerja sekolah. Walaupun sistem ini nampak remeh tetapi kesannya besar bagi pelajar dan guru. Saya meyokong sistem ini kerana memudahkan pelajar yang tidak perlu membawa buku mengikut jadual dan bagi guru pula, hal ini bagi memastikan kelancaran pengajaran dan pembelajarannya menepati objektif yang telah ditetapkan oleh guru.

Para pelajar juga mempunyai personaliti yang berbeza. Personaliti ini menjadikan setiap pelajar unik. Walaupun mereka watak ini berbeza, mereka tetap menghormati kami dan sentiasa memberi kerjasama kepada kami. Saya sentiasa memberi kata – kata nasihat kepada pelajar – pelajar nakal dan mengganggu rakan – rakan yang lain. Saya juga mendapati kekurangan yang terdapat pada pelajar seperti kecacatan tangan dan kecatatan kaki tidak menghalang mereka untuk bergerak aktif seperti berlari.

Pengalaman seterusnya yang memberi pengalaman kepada saya ialah saya berkomukasi dengan pelajar bermasalah pendengaran, Azizi. Azizi sangat seronok apabila mengetahui saya dapat menggunakan bahasa isyarat walaupun tidak cekap. Dia juga selalu mengajar saya beberapa isyarat. Berjumpa dengan Afifi menjadikan saya seronok kerana bidang saya nanti ialah mengajar menggunakan bahasa isyarat.

Pengalaman internship di SMK Syed Alwi telah memberikan saya keyakinan untuk berhadapan dengan pelajar dan mengajar mereka nanti. Saya berharap kenangan dan pengalaman yang saya peroleh dapat saya gunakan sepanjang saya menjadi guru nanti.

Aktiviti Membuat Sampul Duit Raya Aidilfitri 2014