Showing posts with label Refleksi. Show all posts
Showing posts with label Refleksi. Show all posts

Monday, 27 April 2015

CORETAN PROGRAM JEJAK BESTARI

Sekolah               : Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan, Pulau Pinang
Fokus                  : PT3 & SPM
Kategori Pelajar  : Masalah Pendengaran
Bil. Pelajar          : 130 Orang Pelajar

Jangka Masa       : 3 Hari 2 Malam (17-18 April 2015)


A
lhamdulillah, tugasan untuk menjadi fasilitator kepada pelajar sekolah ini telah berjaya dilaksanakan walaupun terdapat beberapa cabaran yang terpaksa dilalui oleh 20 orang fasilitator yang terlibat khususnya pelajar Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan dalam bidang pendidikan khas di USM. Saya yakin pengalaman sebegini amat diperlukan oleh bakal-bakal guru kerana hal ini dapat meningkatkan kemahiran yang diperlukan oleh guru. Saya akan pecahkan refleksi ini kepada beberapa kemahiran iaitu kemahiran membina hubungan, kemahiran komunikasi, kemahiran memberi arahan, kemahiran kawal selia, dan kemahiran membina motivasi diri.

.     A.  Kemahiran Membina Hubungan

  • Kemahiran ini sangat penting kerana dapat membantu para guru dan pelajar untuk saling berinteraksi dengan lebih baik. Dalam konteks program ini, kami menggunakan modul ‘ice-breaking’ untuk menarik pelajar ini berasa lebih selesa dengan kehadiran kami. Oleh itu, setiap tugasan yang diberikan oleh kami nanti mampu dilaksanakan oleh pelajar kerana mempunyai hubungan yang berkesan antara pelajar dengan fasilitator.

    b. Kemahiran Komunikasi

    Halangan utama kami dalam program ini ialah komunikasi. Kami perlu menggunakan Bahasa isyarat sama ada Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM) ataupun Bahasa Isyarat Malaysia (BIM). Pelbagai alternatif telah digunakan oleh semua fasilitator yang terlibat seperti menggunakan menulis di atas kertas, menggunakan penterjermah dalam kalangan pelajar, mengeja, dan sebagainya. Pengalaman ini harus digunakan sebaik mungkin kerana tidak semua isyarat tangan terdapat dalam buku.


    c.  Kemahiran Memberi Arahan

    Kemahiran memberi arahan sangat penting tidak kira pelajar normal ataupun tidak. Sebelum memberi arahan, kami perlu pastikan semua pelajar melihat orang yang sedang bercakap dan berbahasa isyarat. Selain mendapatkan fokus pelajar, kami perlu juga memastikan arahan yang kami sampaikan ringkas dan tepat agar aktiviti yang dirancang mampu dilaksanakan dengan berkesan. Dalam konteks pelajaran, dua aspek ini sangat penting bagi memudahkan arahan yang ingin disampaikan oleh guru dapat diterima oleh pelajar dengan baik.

    d. Kemahiran Kawal Selia

    Kemahiran kawal selia juga sangat penting dalam merancang dan melaksanakan aktiviti. Kita harus peka terhadap reaksi pelajar sama ada berminat ataupun tidak dengan aktiviti yang dirancang. Oleh itu, kita mampu mengambil langkah yang berkesan untuk mendapatkan perhatian pelajar. Selain itu, kawalan masa juga sangat penting kerana rehat yang cukup mampu membuatkan pelajar seronok untuk mengikuti aktiviti yang telah dirancang. Oleh itu, pihak urus setia patut menilai kesesuaian jangka masa setiap aktiviti dan peruntukan masa rehat.

    e.  Kemahiran Membina Motivasi Diri

    Dalam konteks program ini, kami akan menyemai semangat dahagakan ilmu kepada setiap pelajar. Setiap aktiviti yang kami laksanakan akan disertakan dengan objektif selepas tamat setiap aktiviti. Tujuan kami memberitahu objektif tersebut kerana kami mahu pelajar menilai objektif tersebut. Secara tidak langsung, hal ini akan membangkitkan motivasi dalaman pelajar itu sendiri. Dalam slot tazkirah maghrib, fasilitator lelaki akan berkongsi pengalaman mereka semasa proses menuntut ilmu dari zaman persekolahan hingga ke peringkat universiti.

K
esimpulannya, program ini sangat baik dan diharapkan agar pihak sekolah meneruskan program ini pada setiap tahun. Program ini mampu mendekatkan golongan istimewa ini dengan masyarakat normal. Tugas sebagai Ketua Fasilitator ini sangat berat tetapi Allah telah memudahkannya serta sokongan daripada fasilitator menyebabkan tugas yang dipikul menjadi ringan.


Selamat Maju Jaya Buat Pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan, Pulau Pinang


Senarai fasilitator : Haniff Asyraf, Aizulhakim, Asyraf, Aidil Adrie, Azeem Fiqri, Hafizuddin, Fazreen, Asilah, Fazilah, Aisyah, Faqirah, Najad, Husna, Azirah, Akma, Syamira, Marmin, Mazlinah, Ainatul, Afifah

Wednesday, 17 September 2014

Refleksi Semasa Internship Di SMK Syed Alwi, Perlis

Alhamdulillah, saya dapat melaksanakan tugasan yang telah diberikan oleh pihak USM iaitu, Latihan Internship selama sebulan di sekolah – sekolah yang dipilih sendiri oleh pelajar. Saya telah memilih SMK Syed Alwi sebagai tempat bagi saya untuk melaksanakan latihan ini. Latihan internship saya mengambil masa 18 hari pada bulan Ramadan. Oleh itu, berkat bulan Ramadan ini saya berharap semuanya berjalan dengan lancar.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak sekolah kerana sudi menerima kehadiran saya dan rakan saya, iaitu Azlili b Ahmad Sabri. Kehadiran kami disambut baik oleh guru – guru aliran perdana. Terdapat juga guru yang memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada kami bagi berhadapan dengan pelajar – pelajar terutamanya pelajar pendidikan khas. Tuan pengetua, En. Kaman b Halit juga turut memberi banyak nasihat kepada kami semasa terjumpa dengan kami. Pihak PPKI juga yang diketuai oleh Penolong Kanan Pendidikan Khas, Puan Zurainie bt Mat Jas juga memberi kerjasama yang baik kepada kami berdua. Guru – guru pendidikan khas turut memberi kerjasama yang baik kepada kami berdua. Mereka selalu menyuruh kami bergaul dengan mereka. Oleh itu, kami telah dapat menyesuaikan diri dengan kelompok guru – guru pendidikan khas.

Terdapat banyak kenangan yang masih kekal dalam ingatan saya. Antaranya ialah Haikal Syafiq, walaupun dia mengalami masalah pertuturan, dia mampu untuk menyusun kad ayat yang telah diselerakkan di atas meja. Selain itu, kenangan menjadi guru pengawas semasa peperiksaan pertengahan tahun bagi kelas PPKI juga masih di ingatan saya kerana jawapan pelajar yang salah membuatkan saya ingin membantu mereka. Semasa saya diminta untuk menggantikan guru, kenangan menjaga dan mengawal kelas menjadi motivasi kepada saya untuk bersabar dengan pelajar. Hal ini kerana mereka nakal dan mengganggu rakan lain. Semangat untuk menang juga wajar dicontohi kerana mereka sentiasa ingin memenangi kuiz yang telah dilaksanakan oleh kami berdua.

Kemahiran interpersonal saya juga meningkat. Hal ini kerana saya selalu berkomunikasi dengan guru, pelajar, dan ibu bapa pelajar. Pada permulaannya, saya agak kekok, saya akhirnya mampu berkomunikasi dengan baik apabila berhadapan dengan mereka. Saya berpendapat bahawa saya harus menggunakan nada suara yang berbeza untuk berhadapan dengan mereka seperti tegas dan lembut untuk memudahkan mereka berhadapan dengan saya.

Sistem yang digunakan oleh pihak PPKI juga membuka mata saya. Pihak PPKI telah menyediakan laci kepada setiap pelajar. Hal ini bagi mengatasi masalah pelajar yang sering lupa untuk membawa buku dan membuat kerja sekolah. Walaupun sistem ini nampak remeh tetapi kesannya besar bagi pelajar dan guru. Saya meyokong sistem ini kerana memudahkan pelajar yang tidak perlu membawa buku mengikut jadual dan bagi guru pula, hal ini bagi memastikan kelancaran pengajaran dan pembelajarannya menepati objektif yang telah ditetapkan oleh guru.

Para pelajar juga mempunyai personaliti yang berbeza. Personaliti ini menjadikan setiap pelajar unik. Walaupun mereka watak ini berbeza, mereka tetap menghormati kami dan sentiasa memberi kerjasama kepada kami. Saya sentiasa memberi kata – kata nasihat kepada pelajar – pelajar nakal dan mengganggu rakan – rakan yang lain. Saya juga mendapati kekurangan yang terdapat pada pelajar seperti kecacatan tangan dan kecatatan kaki tidak menghalang mereka untuk bergerak aktif seperti berlari.

Pengalaman seterusnya yang memberi pengalaman kepada saya ialah saya berkomukasi dengan pelajar bermasalah pendengaran, Azizi. Azizi sangat seronok apabila mengetahui saya dapat menggunakan bahasa isyarat walaupun tidak cekap. Dia juga selalu mengajar saya beberapa isyarat. Berjumpa dengan Afifi menjadikan saya seronok kerana bidang saya nanti ialah mengajar menggunakan bahasa isyarat.

Pengalaman internship di SMK Syed Alwi telah memberikan saya keyakinan untuk berhadapan dengan pelajar dan mengajar mereka nanti. Saya berharap kenangan dan pengalaman yang saya peroleh dapat saya gunakan sepanjang saya menjadi guru nanti.

Aktiviti Membuat Sampul Duit Raya Aidilfitri 2014