Monday, 7 December 2015

Kajian Kes : Pengenalpastian Individu Pintar Cerdas dan Berbakat

Oleh :

Haniff Asyraf
Khairul Anam




PENDAHULUAN

Individu pintar cerdas dan berbakat merupakan individu yang memiliki keupayaan dan kebolehan yang luar biasa melebihi kebolehan rakannya yang lain. Pemberian ini merupakan anugerah daripada pencipta. Sejarah awal tentang pintar cerdas dan berbakat ini bermula daripada kisah empat orang kanak – kanak lelaki dari Jurusalem yang hendak dibawa ke Babylon untuk mendapatkan pendidikan di istana kerana kebijaksanaan mereka yang diceritakan dalam kitab mereka iaitu “King James Bible”. Cerita ini telah memberi gambaran awal tentang golongan yang mempunyai intelek yang tinggi akan diberi keutamaan ketika itu. Pada abad ke – 15, kesedaran mula timbul di negara Turki dan menyebabkan kerajaan Turki telah mengambil inisiatif dengan meyediakan kemudahan dan sumber pendidikan kepada anak mubaligh Kristian dan golongan rakyat yang terpilih. Di Malaysia, golongan ini mula diberi perhatian dengan terlaksananyan beberapa program dalam sistem pendidikan negara. Antaranya ialah Sistem Kelas ekspres (1962), Program BAKA (1985), Ujian Penilaian Tahap 1 (1996). Pada tahun 2011, Malaysia boleh berbangga dengan program yang telah dibentuk iaitu Program Permata Pintar. Program ini telah dipertanggungjawabkan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia. Program ini mempunyai empat kategori iaitu Permata Pintar untuk akademik, Permata Seni untuk seni, Permata Insan untuk agama, dan Permata Kurnia untuk yang didiagnosis mempunyai autisme. Program ini diharap mampu memelihara aset yang bernilai supaya boleh memberi sumbangan kepada negara kelak. 


1.0 PENGENALAN

1.1 Konsep Kajian

Pintar cerdas merujuk kepada seseorang yang mempunyai bakat dan potensi yang luar biasa serta melebihi kebolehan rakan seusia mereka. Individu yang mempunyai potensi yang yang tinggi dalam pelbagai aspek perkembangan dan pertumbuhan. Istilah ‘gifted’ dan ‘talented’ didefinisikan dalam dua istilah yang berbeza oleh pakar – pakar. Antaranya ialah Bragget (1998), beliau menyatakan bahawa “talent is seen to reflect a remarkable ability which, however, falls short of the superlative level characterised by true giftedness”. Gagne (1991, 1995) menyatakan bahawa kedua – dua istilah ini sangat sinonim dan beliau bersetuju bahawa pengekalan terhadap kedua – dua tersebut. Menurut beliau lagi, ‘giftedness’ dibeazakan melalui kapasiti semula jadi manakala ‘talented’ dirujuk sebagai perberkembangan potensi.

1.2 OBJEKTIF KAJIAN

Kajian ini bertujuan untuk :

a. Mengenal pasti individu pintar cerdas dan berbakat
b. Mengenal pasti kebolehan individu pintar cerdas dan berbakat di peringkat sekolah dan Universiti.
c. Menambahkan inventori kajian terhadap pintar cerdas dan berbakat.
d. Menilai perkembangan aspek tingkah laku, fizikal, kognitif, Bahasa dan komunikasi, dan pencapaian akademik individu.

2.0 Kajian Literatur

Terdapat banyak kajian tentang individu uang mempunyai kebolehan yang luar biasa ini. Menurut Clark. B (2013), individu yang mempunyai hubungan kecerdasan daripada sifat genetik dengan faktor persekitaran mampu meningkatkan darjah kepintarannya lebih daripada orang lain. Menurut beliau lagi, penambahan ini akan meningkatkan fungsi otak. Kecerdasan seseorang boleh dilihat melalui tingkah laku atau pencapaian yang menonjol dan pengesanannya dilakukan melalui pemerhatian dan alat penilaian (Clark. B, 2013). Namun, di sebalik kepintaran dan kecerdasan yang telah dianugerahkan kepada individu ini, terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi oleh individu ini dan pihak lain. Antaranya ialah individu ini kecewa kerana tidak mendapat rangsangan yang mencabar dalam kelas (Chiam, 1992), penggunaan kaedah pengajaran tradisional (Khadijah M. Shahid, 1992), kekurangan sokongan daripada keluarga, guru, dan rakan menyebabkan permasalahan dalam konsep kendiri (Lovecky, 1993), dan banyak lagi. Akibatnya, individu ini akan mengalami tekanan yang kuat dan mengambil keputusan di luar jangkaan seperti membunuh diri. Nelson dan Galas (1994) menyenaraikan tanda – tanda awal individu pintar cerdas dan berbakat ingin membunuh diri seperti mereka mengancam ingin membunuh diri sama ada secara langsung atau tidak langsung, perubahan mengejut dalam tingkah laku, mengasingkan diri daripada rakan, mula memberi barangan kesayangan mereka dan sebagainya. Oleh itu, individu yang mempunyai kebolehan luar biasa ini harus dijaga dengan baik.

3.0 METODOLOGI KAJIAN

Metodolgi merupakan suatu proses atau kaedah memperolehi maklumat atau data yang diperlukan dalam membuat sesuatu analisis data mengenai kajian yang dijalankan. Bagi melaksanakan tugasan kajian ini dengan sempurna, kami telah merancang metodologi untuk menjadi sebagai bahan rujukan , panduan atau analisis data bagi menyelesaikan kajian kami ini dengan sistematik dan teratur. Hal ini sedemikian, ia akan memudahkan kami untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan.

3.1 Latar Belakang Kajian

Saudara Hanif adalah anak ke dua daripada empat adik-beradik. Beliau dibesarkan dalam sebuah keluarga yang berpendapatan sederhana di mana bapanya bekerja sebagai penjual goreng pisang berdekatan rumahnya manakala ibunya merupakan seorang suri rumahtangga. Memandangkan keluarganya hidup bersedarhana, kehidupan mereka dilihat sangat berdikari dan saling membantu antara satu sama lain. Kakaknya yang sulung berusia 28 tahun manakala adik lelakinya yang bongsu berusia 12 tahun. Kini, adik bongsu saudara Hanif berada di darjah enam di Sekolah Kebangsaan Mengkuang, dan baru sahaja selesai menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah pada tahun ini.

Dalam sejarah tokoh-tokoh yang terdahulu, telah mencatatkan banyak individu yang mengatasi kekangan persekitaran seperti penindasan, kemiskinan dan menyerlahkan bakat mereka pada peringkat lewat hidup mereka. Kecerdasan yang terpendam akan berkembang pada masanya. Ini tidak bermakna pendidikan tidak penting dan kecerdasan hanyalah akibat faktor biologi semata-mata. Begitulah yang berlaku kepada saudara Hanif.  Bakatnya dalam sukan bola sepak sebagai seorang Penjaga Gol mula terserlah semenjak beliau berada di darjah empat dan terus menerus bersinar sehingga mendapat tempat untuk mewakili negeri Pulau Pinang dan Malaysia dalam sukan antara Universiti (ASEAN). Semenjak kecil bakatnya tidak langsung dihidu oleh ibu dan bapanya dan hanya menyangka kesukaan dalam bidang sukan hanya hobi semata-mata.

Menyentuh latar belakang ibubapanya, ibunya, Harishon Binti Hamid merupakan ibu yang sangat penyayang dan memahami setiap kelebihan dan kekurangan anak-anaknya. Puan Harishon dilihat sangat membantu dan menyokong minat Hanif. Ini dibuktikan apabila Puan Harishon membenarkan Hanif untuk pergi berlatih bersama kawan - kawan, membelikannya peralatan sukan yang diminta dan sering bertanyakan perkembangan Hanif kepada guru kelas dan guru sukannya. Sementara itu, ayah Hanif merupakan seorang yang sangat tegas namun cukup memberi sokongan yang padu kepada Hanif kerana En Ahmad percaya bidang yang diceburi oleh Hanif merupakan aktiviti yang sihat yang dapat  membantu dalam perkembangan mental, sosial dan meningkatkan keyakinanan diri anaknya itu.


3.2 Tempat Kajian

3.2.1 Rumah
3.2.2 Padang Bola


3.3 Kemahiran Yang Dikaji

3.3.1 Perkembangan tingkah laku
3.3.2 Perkembangan fizikal
3.3.3 Perkembangan kognitif
3.3.4 Perkembangan bahasa dan komunikasi
3.3.5 Pencapaian akademik

3.4 Instrumen
3.4.1 Kemahiran berfikir aras tinggi ( kbat )
3.4.2 Borang penilaian
3.4.3 Pita rakaman
3.4.4 Borang soal selidik
3.4.5 Kajian Lapangan


3.5 Kaedah Pengumpulan Data

3.5.1 Soal selidik

Kajian kami ini dimulakan dengan melakukan kaedah soal selidik. Kaedah ini digunakan untuk mengambil maklumat diri responden serta mengenai perkembangan mengikut beberapa aspek yang ditetapkan sebelum , semasa dan selepas kajian. Misalnya , maklumat diri responden kami akan mengemukan beberapa soalan dalam borang kaji selidik tersebut seperti nama , umur , jantina , bakat, minat dan sebagainya. Data – data yang kami perolehi ini secara tidak langsung ia akan membantu kami menyiapkan tugasan kami ini.

3.5.2 Temubual

Kaedah seterusnya yang kami gunakan ialah kaedah temubual. Kaedah ini digunakan adalah untuk mengukuhkan lagi data – data atau maklumat yang kami perolehi. Temubual ini dijalankan bersama responden, keluarga responden, dan kawan-kawan responden. Kami menemu bual mereka mengenai responden tersebut.Segala input yang berkaitan dengan responden tersebut kami sangat menghargainya kerana ia banyak membantu kami untuk menyiapkan tugasan kami ini.


3.5.3 Pemerhatian

Kaedah pemerhatian juga merupakan metodologi yang telah kami gunakan dalam kajian ini.Sebelum , semasa dan selepas kajian kami memerhati segala tingkah laku , emosi , pemikiran dan sebagainya tentang responden tersebut.Hal ini sedemikian , sedikit sebanyak ia akan membantu kami untuk membuat inferens serta menganalisis data yang telah kami perolehi.Setiap pemerhatian seseorang itu berbeza – beza. Apa yang dilihat berkemungkinan tidak akan sama. Jadi , berdasarkan pemerhatian yang dijalankan kami akan membuat refleksi terhadap responden tersebut. Setiap ahli dari kumpulan kami akan membuat refleksi berdasarkan apa yang diperolehi selepas kajian ini dijalankan.

3.6 Penganalisisan Data


Kami menggunakan sumber instrumen melalui kaedah pengumpulan data untuk menganalisis dan mengolah data bagi kajian ini. Kaedah pengumpulan data yang digunakan telah memberikan maklumat penting yang kami inginkan. Penganalisisan data dibuat secara berperingkat-peringkat dengan menilai setiap perkembangan yang berbeza-beza.


4.0 PERBINCANGAN

                                       
NAMA                            : MOHD HANIF BIN AHMAD
UMUR                            : 24 TAHUN
BANGSA                       : MELAYU
AGAMA                         : ISLAM
BIL. ADIK BERADIK : 4
ANAK KE                     : 2
NAMA AYAH              : AHMAD BIN KHAMIS
PEKERJAAN AYAH   : PENIAGA
NAMA IBU                   : HARISHON BINTI HAMID
PEKERJAAN IBU        : SURI RUMAHTANGGA
ALAMAT RUMAH      : 514 MUKIM 4, PERMATANG TENGAH, 13500 PERMATANG
                                          TENGAH, PULAU PINANG
TARIKH LAHIR          : 1 APRIL 1990
TEMPAT LAHIR          : HOSPITAL BESAR PULAU PINANG
PENDIDIKAN            : 1) RENDAH – SK MENKUANG
                                        2) MENENGAH – SMK PENANTI
                                        3) TINGGI – UNIVERSITI SAINS MALAYSIA
HOBI                            : BERSUKAN, AKTIVITI LASAK SEPERTI BERKAYAK,
                                        OBCIRCLE, FLYING-FOX, MEMANAH, CAMPING, HIKING.
                                        BERENANG, ABSELLING.
CITA - CITA                : PEMAIN BOLA SEPAK PROFESIONAL
BAKAT                        : PEMAIN BOLA SEPAK, KEPIMPINAN, AKADEMIK,
                                        DAN SAHSIAH




4.1 Keistimewaan Respondan Yang Dipilih

Perlu diketahui bahawa, kanak-kanak pintar cerdas juga memiliki ciri-ciri kepandaian berfokus iaitu hanya pandai dalam sesuatu bidang tetapi mempunyai kepandaian yang normal untuk bidang-bidang lain. Dalam bidang akademik,  responden sangat menguasai subjek teras iaitu bahasa Malaysia, Pendidikan Islam, dan bahasa inggeris. Responden mendapat markah tinggi dalam subjek berkenaan, namun kurang memuaskan dalam subjek matematik. Selain itu, pemilihan saudara Hanif adalah disebabkan pencapaiannya yang konsisten dalam bidang kokurikulum iaitu sering memegang trofi juara dalam setiap acara yang disertainya  dan turut diseimbangkan dengan kebijaksanaannya dalam bidang  akademik, kepimpinan dan sahsiah.  Berdasarkan keputusan di Peringkat Sekolah Menengah, Hanif pernah mendapat anugerah sebagai pelajar terbaik di sekolahnya untuk Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Manakala di peringkat Universiti pula, Hanif baru sahaja bergraduasi pada tahun ini di dalam Ijazah Sarjana Muda Kepujian Komunikasi dengan pointer yang baik. Bakat keistimewaan dalam bidang kepimpinan dapat dilihat apabila pernah dilantik menjadi penolong ketua pengawas ketika tingkatan lima, dan ketua pengawas pada tingkatan enam. Di peringkat Universiti pula, Hanif telah dilantik untuk menjadi Ahli Majlis Perwakilan Pelajar dan juga menjadi Kapten di dalam setiap perlawanan bola sepak yang disertainya. Selain itu juga, beliau turut menyandang jawatan sebagai Naib Yang Dipertua Dua bagi persatuaan Gabungan Anak-anak Pulau Pinang di Universiti Sains Malaysia.
Selain itu juga, saudara Hanif seorang remaja yang amat  aktif di dalam bidang sukan dan rekreasi apabila telah mendapat anugerah Perak dan Gangsa di dalam Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda dan pada saat ini beliau sedang menjalani latihan untuk mendapatkan pingat Emas. Selain itu juga, beliau pernah dinobatkan sebagai olahragawan tahunan di sekolah pada tahun 2009.

4.2 Dapatan Respondan Daripada Rakan-Rakan, Ibu Bapa

Melontarkan persoalan berkenaan masa depannya, remaja ini bercita-cita untuk menjadi seorang pemain bola sepak antarabangsa  apabila dewasa nanti. Ini menunjukkan Hanif merupakan seorang yang berpandangan jauh dan pandai mengeksplotasi bakatnya sebagai salah satu jalan untuk mebina karier satu hari nanti. Di sekolah, beliau menyukai pelajaran Matematik, Sains dan Pendidikan Agama Islam. Beliau menamatkan pembacaan al-Quran secara rasmi pada usia 10 tahun. Walaupun begitu, beliau masih meneruskan pembelajaran al-Quran dan mengajar Al-Quran untuk ahli keluarganya dan rakan-rakannya.

Selain itu, remaja ini selalu membantu ibu membuat kerja-kerja rumah seperti mencuci pinggan mangkuk di dapur. Beliau sedar ibunya perlu dibantu di rumah setelah penat bekerja mencari rezeki dari pagi hingga ke petang membantu ayahnya berniaga. Kerja-kerja pembersihan rumah dan membeli barang-barang keperluan di kedai berhampiran juga turut dibuatnya dengan rela. Pendek kata, remaja ini menjadi orang kanan ibunya pada ketika ayahnya berada di luar kawasan.

Sebagai anak lelaki, saudara Hanif sering tampil mewakili ayahnya menyertai aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang diadakan di tempat tinggalnya.  Pada usia seawal 9 tahun lagi, kanak-kanak ini sudah melibatkan diri secara aktif dengan masyarakat setempat dalam melaksanakan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong dan kenduri-kendara.  Beliau tidak culas dan tidak segan menyapu sampah, membuang sampah, dan membersihkan longkang yang sudah pasti baunya amat tidak menyenangkan. Remaja ini juga tampil menghulur khidmat dalam usaha membanteras denggi di kawasan tempat tinggalnya. Beliau sedar persekitaran yang kotor mengundang banyak masalah kepada ahli masyarakat umumnya dan ahli keluarga khususnya.

 Hasil didikan agama yang baik daripada orang tuanya, kanak-kanak ini turut mengimarah surau di tempat tinggalnya. Beliau meluangkan masa untuk bersolat fardhu Maghrib dan Isya secara berjemaah dan sering kali diangkat menjadi imam kerana dek kelebihannya dapat membaca Al-Quran dengan alunan yang merdu. Suaranya juga sering berkumandang di ruang udara melaungkan azan mengingati umat Islam agar segera menunaikan perintah Allah S.W.T.

Kesedaran ini timbul kerana beliau sering mengikuti ayahnya sejak kecil lagi menunaikan solat secara berjemaah di masjid ataupun di surau. Pada bulan Ramadhan pula, kanak-kanak ini tidak melepaskan peluang menggandakan pahalanya secara sukarela menjadi bilal dan Imam bagi solat sunat Tarawih. Di sekolah pula, kanak-kanak ini selalu ke hadapan mengetuai bacaan doa dalam perhimpunan rasmi mingguan sejak berada dalam tahun tiga lagi.

4.3 Perkembangan Tingkah Laku

Perkara ini dinamakan asynchronous yang bermaksud tidak sekata atau tidak berlaku mengikut peringkat atau kadar yang sepatutnya bersama-sama dengan perkara lain. Ain Hazwani et.al (2011) menjelaskan kanak-kanak pintar cerdas berkembang secara asynchronous iaitu perkembangan yang tidak selari dengan domain-domain lain. Sebagai contoh, kanak-kanak berusia 7 tahun mempunyai keupayaan intelektual seperti kanak-kanak berusia 12 tahun, berkeupayaan sosial seperti kanak-kanak berusia 9 tahun dan memiliki keupayaan emosi seperti umur sendiri. Rumusannya, perkembangan kanak-kanak pintar cerdas dari segi intelektual, emosi dan sosial adalah lebih cepat berbanding kanak-kanak biasa. Namun begitu, individu yang dikategorikan dalam pintar cerdas juga mempunyai beberapa kelemahan.

Dengan kata lain, mereka menggunakan kecerdasan yang ada pada mereka dengan cara yang lebih berkesan. Antara strategi pembelajaran adalah seperti:
“kalau saya tidak mengaplikasi apa yang dipelajari, saya akan lupa ”.
Imkplikasinya adalah mengaplikasi konsep yang baru dipelajari dengan sebanyak mungkin dalam situasi baru. Metakognisis yang matang ini juga bermakna mereka melatih diri. Mereka mencari peluang dan persekitaran untuk perkembangan diri. Mereka mengoptimalkan perkembangan intelek sendiri dengan intelek yang sedia ada. Begitulah saudara Hanif, beliau bersikap matang dan menurut ibunya, sewaktu di zaman persekolahan, Hanif sering menyiapkan kerja sekolah tanpa perlu disuruh oleh ibu bapanya. Di samping itu juga, ketika kini di peringkat remaja beliau sentiasa membantu kedua-dua ibubapanya dalam apa jua keadaan.

4.4 Perkembangan Fizikal

Perlu diketahui, bahawa unsur-unsur utama badan-kinestetik mengawal gerakan badan seseorang dan kapasiti untuk mengendali objek mahir. Kecerdasan ini merupakan kemampun menggunakan seluruh tubuh untuk mengekspresikan idea dan perasaan seperti penari, atlet dan pelakon. Keterampilan menggunakan tangan untuk menciptakan atau mengubah sesuatu, seperti tukang batu, ahli makenik dan doktor bedah. Kecerdasan ini meliputi kemampuan fizikal yang lebih spesifik seperti koordinasi, keseimbangan, keterampilan, kekuatan, kelenturan, kecepatan atau kemampuan menerima rangsangan. Howard Gardner memberikan secara terperinci untuk mengatakan bahawa kecerdasan ini juga termasuk rasa masa, rasa yang jelas matlamat tindakan fizikal, bersama-sama dengan keupayaan untuk melatih jawapan supaya mereka menjadi refleks.

Berbalik kepada pencapaian saudara Hanif, penglibatan beliau secara serius bermula pada tahun 2002 apabila memenangi pingat di peringkat sekolah, peringkat MSSD dan MSSN. Beliau telah dipilih untuk mewakili Pulau Pinang dalam Kategori Bawah 12 Tahun untuk Kejohanan Bola Sepak Pulau Pinang. Kekerapan memenangi pingat emas dalam sukan bola sepak telah banyak mengharumkan nama Sekolah Kebangsaan Mengkuang dan sekolah Menengah Kebangsaan Penanti, sama ada di peringkat daerah, negeri. Pihak sekolah amat berbangga dengan pencapaian beliau, dan beliau telah dipilih sebagai penerima Anugerah Olahragawan peringkat sekolah selama 2 tahun berturut-turut mulai tahun 2009-2010. Pada saat ini, saudara Hanif telah menjadi seorang jurulatih bola sepak secara sukarela di kedua-dua sekolah lamanya dan menjadi kebanggaan buat guru-gurunya.

 Selain bola sepak, saudara Hanif juga turut aktif dalam sukan sepak takraw, balapan olahraga dan seringkali berjaya bermain melepasi peringkat sekolah.  Beliau seringkali mencatat kemenangan dalam kejohanan sepaktakraw di peringkat MSSD setiap tahun sepanjang penglibatan beliau dalam sukan ini. Berikut adalah senarai penglibatan adik Khoir semenjak tahun 2002 :

1. Pengawas Sekolah     (2005-2009)
2.  Pertandingan Seven Soccer Kidz (Johan)
3. Kejohanan Merentas Desa MSSD Seberang Prai 2007
4. Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia 2010/2011
5. Pertandingan Bola Sepak Antara Universiti ( MASUM )
6. Pertandingan Sukan Antara IPTA ( SUKIPT )
7. Pertandingan Bola Sepak Antara Universiti ASEAN ( IMGT )
8. Pertandingan Bola Sepak Antara IPTA/IPTS ( DIVISYEN 2 )
9. Naib Yang Dipertua Dua Gabungan Anak-Anak Pulau Pinang ( GAPPI )

Walaupun bentuk dan saiz tubuh manusia adalah lebih banyak disebabkan oleh pengaruh-pengaruh bukan kebakaan seperti pemakanan, iklim, senaman dan juga pekerjaan, namun baka merupakan satu faktor yang mempengaruhi perkembangan aspek fizikal seseorang itu. Jika diperhatikan fizikal saudara Hanif, didapati responden adalah berbadan kecil. Warna kulit, warna mata dan warna rambut juga dipengaruhi oleh trait fenotaip iaitu lebih mengikut ibunya.

4.5   Pencapaian Akademik
 Banyak pendapat menyatakan bahawa pencapaian akademik seorang pelajar berkait dengan faktor kecerdasan mental pelajar, namun peranan faktor lain seperti faktor personaliti, faktor persekitaran, faktor psikologi dan sosiologi tidak boleh diketepikan. Dalam akademik, kanak-kanak itu akan suka berpandangan bahawa keputusan mereka dalam sesuatu matapelajaran tidak akan bagus dan akan mendapat keputusan yang kurang baik.  Potensi yang tinggi yang ditunjukkan mereka dalam akademik sudah semestinya membuatkan para ibubapa kanak-kanak tersebut berasa gembira dan bangga, serta menganggap mereka mampu menguasai semua matapelajaran yang kemudiannya akan memberi tekanan kepada mereka.

Kebolehan kanak-kanak yang pintar cerdas yang mampu menyiapkan tugasan lebih awal daripada rakan yang lain akan menyebabkan mereka berasa bosan, dan kemudiannya akan mengganggu rakan-rakan yang lain di dalam kelas. Walaupun mereka sentiasa cemerlang dalam akademik, tetapi kebanyakkan rakan-rakan di sekeliling selalunya akan menganggap golongan pintar cerdas ini menunjuk-nunjuk dengan kehebatan mereka. Berbeza dengan Hanif, walaupun prestasi akademik saudara Hanif baik, namun beliau sering membantu rakan-rakan yang lain. Oleh yang demikian, rakan-rakan berasa selesa untuk mendekati saudara Hanif. Ini merupakan contoh terbaik yang ditunjukkan oleh saudara Hanif sebagai murid yang berbakat di sekolah dan pelajar yang cemerlang di Universiti.

4.6      Perkembangan Kognitif

Istilah kognitif merujuk kepada aktiviti-aktiviti mental seperti berfikir, menaakul, menganalisis, membentuk konsep, menyelesaikan masalah dan sebagainya. Mampu memahami konsep yang canggih, abstrak dan kompleks. Ahli falsafah, contohnya adalah golongan yang tinggi kecerdasan. Kecerdasan berkait rapat dengan pemahaman abstrak. Pengetahuan atau skemata yang luas. Memahami banyak konsep yang tidak difahami kanak-kanak yang sebaya. Meminati permainan yang rumit dan mencabar seperti mainan ingatan, scrabble, silang kata, catur dan permainan komputer yang tertentu. Tumpuan tinggi, membaca secara senyap untuk masa yang panjang. Tidak suka diganggu, menjadi geram apabila diganggu semasa melakukan sesuatu yang diminatinya.

Melalui kaedah pemerhatian, saya mendapati responden dapat memahami manakah isu yang penting, idea yang teras, prinsip asas yang penting melalui borang penilaian yang digunakan dengan Kaedah Berfikir Aras Tinggi ( KBAT ). Palajar yang biasa hanya memberi perhatian kepada perincian yang kurang penting. Contohnya semasa melakukan hasil seni, responden mementingkan menghasilkan kerja yang tercantik, walaupun tidak mengikut cara yang dicadangkan oleh saya (mungkin menggunakan cara yang tidak terfikir oleh orang lain). Menyedari nilai hasil seni terletak pada kecantikannya, bukan kaedahnya. Melalui pemerhatian hasil kerja yang ditunjukkan saya mendapati responden mampu memikirkan sesuatu perkara dengan terperinci. Sebagai contoh apabila responden melukis perahu yang memperincikan pandangan di dalam perahu. Menggunakan dan memahami kosa kata yang lebih maju, menggambarkan dia memahami lebih banyak konsep dan objek.

4.7 Perkembangan Bahasa Dan Komunikasi

Terdapat pelbagai pendapat dan pandangan terhadap kanak-kanak pintar cerdas. Kriteria yang ketara yang dimiliki oleh kanak-kanak pintar cerdas ini adalah dari segi keupayaan berbahasanya dan kebolehannya melebihi kanak-kanak yang normal. Yahya Don (2005) menyatakan bahawa  pintar cerdas adalah kebolehan luar biasa, suka mengemukakan soalan bertalu-talu dan tidak perlu tunjuk ajar ketika belajar. Hassan Mohammad Ali (2006) menyatakan bahawa kanak-kanak pintar cerdas mempunyai kebolehan awal yang dapat dikesan iaitu kebolehan mengguna bahasa dengan fasih pada usia awal dan kebolehan membaca pada usia empat tahun.

 Mahani, Ramlah dan Shabuddin (2006), turut mengulas kecerdasan bahasa merangkumi pembacaan,  penulisan dan penggunaan bahasa sendiri dan bahasa asing. Kanak-kanak yang mempunyai kecerdasan ini juga boleh mengeja perkataan dan membaca dengan  mudah dan tepat, juga suka membaca buku jika ada masa terluang. Mohd. Shahrani Ahmad ( 2004: 67), merumuskan kecerdasan bahasa adalah kebolehan umum belajar dan memahami bacaan dengan baik dan cekap bersosial.
Dengan kata lain, kecerdasan bahasa yang diketengahkan oleh pakar di atas sangat berhubungkait dengan kajian yang dijalankan. Kebolehan berbahasa yang dimiliki oleh saudara Hanif amat baik kerana beliau bercakap menggunakan bahasa yang senang difahami tanpa dialek negeri kelahirannya. Komunikasi yang berkesan ditunjukkan oleh beliau tidak dapat disangkal lagi apabila beliau pernah menyertai Pertandingan Pidato Peringkat Sekolah. Beliau mempunyai kemahiran berbahasa yang baik semenjak usia lima tahun lagi apabila Berjaya memenangi Pertandingan Bercerita ketika di Sekolah Tadika.

5.0 CABARAN YANG DIHADAPI

Antara cabaran yang dihadapi oleh kanak-kanak pintar cerdas ialah boleh memahami secara intelektuel mengenai perkara-perkara abstrak tetapi tidak mampu menagani perkara-perkara yang melibatkan konsep emosi yang mana akan membawa mereka ke arah kebimbangan seperti kematian masa hadapan, seksualiti dan isu-isu yang lain. Perkembangan fizikal kanak-kanak pintar cerdas mungkin akan membataskan perkara atau kerja yang mereka berupaya menyelesaikannya melalui gambaran intelek mereka. Sikap teliti dan mementingkan kesempurnaan boleh mendorong mereka kearah kekecewaan. Mereka boleh terlibat sama dalam perbualan orang dewasa seperti isu-isu global untuk satu minit tetapi selepas itu mereka akan menangis kerana mainan kegemaran mereka diambil oleh seseorang.

Permasalahan dari segi pertuturan yang kehadapan dan kebolehan memberi alasan. Kanak-kanak pintar cerdas ini biasanya bersikap tidak mahu mengalah dalam apa-apa perkara. Walaupun begitu mereka tetap kanak-kanak dan memerlukan disiplin yang betul sengguh pun mereka itu bijak. Mereka boleh mempengaruhi orang lain. Ibu bapa dan orang dewasa lain perlu mangambil berat supaya mereka tidak menjadi orang yang mampu mempengaruhi orang lain kearah keburukkan. Mereka juga akan cuba bersikap tunjuk pandai terhadap ibu bapa dan guru.

Permasalahan dari segi sikap teliti dan kesempurnaan serta masalah emosi yang sensitif. Sikap kesempurnaan boleh membawa mereka kepada takut terhadap kegagalan sehingga mereka menjadi seorang yang putus asa. Mereka ini memerlukan data-data yang lengkap sebelum manjawap soalan-soalan yang diberikan, mereka sebenarnya lebih suka mencari jawapan sendiri kerana mereka malas untuk bersosial. Sikap sensitiviti dan juga perkembangan minda mereka mampu untuk memikirkan hal-hal seperti peperangan, kebuluran, pencemaran, ketidakadilan dan keganasan. Jika mereka terlampau memikirkan isu-isu ini mereka akan mengalami masalah ‘introverted’ dan mungkin menjurus kearah “existential depression”.

6.0 PENUTUP

Pelajar pintar cerdas adalah satu aset yang bernilai bagi sesebuah negara. Kegagalan membantu pelajar pintar cerdas bagi memperkembangkan potensi dan bakat mereka adalah satu kerugian yang besar kepada Negara dan masyarakat keseluruhannya. Sekiranya penekanan sebegini tidak diberi perhatian, dikhuatiri potensi dan bakat pelajar pintar cerdas ini akan terbantut dan lambat berkembang. Pengajaran guru yang tidak mencabar pemikiran mereka akan menyebabkan mereka cepat berasa jemu dan bosan, seterusnya akan menghilangkan minat belajar. Personaliti terutama watak, perangai, tingkah laku dan cara gaya pembelajaran mereka perlu difahami oleh guru bagi merancang strategi pengajaran yang sesuai.

Jika dipupuk bakat yang ada tentu dapat memperkemas dan memantapkan keistimewaan yang dikurniakan kepada mereka. Selain guru, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam usaha melahir dan mendidik anak pintar cerdas. Ibu bapa perlu mempunyai kemahiran serta keyakinan yang membolehkan mereka mempraktikkan amalan-amalan mendidik anak pintar cerdas. Salah satu kemahiran yang perlu digarap oleh ibu bapa adalah mengisi ruang kasih sayang sekeluarga.

Hubungan yang erat, suasana keluarga yang harmoni adalah antara perkara dan keperluan yang perlu wujud dalam memberi sokongan kepada anak-anak pintar cerdas. Situasi seperti inilah yang saya perhatikan berada di sekeliling saudara Hanif. Pengetahuan terhadap personaliti dan gaya pembelajaran kanak-kanak pintar cerdas sebenarnya memberikan lebih ruang kepada guru untuk memberi sokongan perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek. Ini membantu masyarakat sekeliling juga untuk menyedari bahawa kanak-kanak pintar cerdas harus dilayan seperti kanak-kanak biasa lain tetapi kelebihan yang dimiliki oleh kanak-kanak tersebut dipupuk dan dijaga supaya memberi manfaat kepada semua manusia.

7.0 RUJUKAN

Mohd Zuri Ghani. 2011. Pelajar Pintar Cerdas dan Berbakat. Unit Penyelidikan Asas Universiti Sains Malaysia.

Ann Magaret & Mohd Zuri Ghani, Pelajar Pintar Dan masalah Yang Dihadapinya dalam Jurnal Pendidikan Khas, DP. Ji/id 8, Bil. 1/2008

Mohd Zuri Ghani, Rahimi Che Aman, Nik Rosila Yaacob & Aznan Che Ahmad, Perbezaan Personaliti Ekstrovert dan Introvert Dalam kalanagn Pelajar Pintar Cerdas Akademik (PCA) Berdasarkan Gender, Jurnal Pendidik dan Pendidikan, Jil. 23, 111-122, 2008.

Mohd Rani Bin Zainal, Mathematics for Gifted Children, https://docs.google.com/document/d/1j9x7kwhp0hihB95AAVnIn0gU5OAIH6eNeh_oP4fb8/edithl=en_GB

Siti Zaleha. Penulisan : Ciri dan Keperluan Murid Pintar Cerdas, http://haryantigifted.blogspot.my/2011/04/penulisan-ciri-ciri-dan-keperluan-murid.html

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), https://cikgunuurul.wordpress.com/kemahiran-berfikir-aras-tinggi-kbat/


No comments:

Post a Comment