Haniff Asyraf
Khairul Anam
Kebolehan menguasai 7 bahasa
Genius Matematik, Sufiah Jusof
PENGENALAN
Pelajar
pintar cerdas merupakan satu aset yang bemilai bagi sesebuah negara. Kegagalan
membantu pelajar pintar cerdas bagi memperkembangkan potensi dan bakat mereka
adalah satu kerugian yang besar kepada negara dan masyarakat keseluruhannya.
Pengajaran guru yang tidak mencabar pemikiran mereka akan menyebabkan mereka
cepat rasa jemu dan bosan, seterusnya akan mengurangkan minat belajar.
Personaliti pelajar, khususnya watak, perangai, tingkah laku dan cara gaya
pembelajaran mereka perlu difahami oleh guru bagi merancang strategi pengajaran
yang sesuai. Falsafah Pendidikan Negara bermatlamat untuk memperkembangkan
potensi individu pelajar secara menyeluruh dan bersepadu dari segi jasmani,
emosi, rohani dan intelek. Oleh itu seluruh usaha dan langkah yang diambil
dalam sistem pendidikan mestilah mengambil kira potensi dan keperluan setiap
individu pelajar. Setiap individu pelajar yang normal semenjak dari usia bayi
telah memiliki potensi dan bakat yang boleh diperkembang dan dipertingkatkan.
Pendedahan awal dan penerimaan pelbagai sumber maklumat akan memberi impak yang
besar dalam perkembangan dan pertumbuhan fizikal, kognitif, psikomotor dan
emosi mereka.
Pelajar
pintar cerdas mempunyai pelbagai kelebihan yang luar biasa. Mereka mampu
mempelajari sesuatu dengan pantas dan mempunyai pelbagai kemahiran. Walau
bagaimanapun, mereka juga mengalami beberapa masalah berkaitan dengan
kepintaran mereka. Secara umumnya, sesetengah ciri-ciri dan personaliti pelajar
pintar cerdas boleh menimbulkan beberapa masalah kepada kanak kanak tersebut,
ibubapa dan guru. Antaranya ialah terdapat banyak faktor bukan kecerdasan yang
mempengaruhi pencapaian akademik, seperti motivasi dan konsep kendiri.
Contohnya masalah emosinya menjadikannya menghadapi masalah kemurungan, seorang
yang murung tidak bermaya, kehilangan motivasi dan sasaran. Sudah tentu seorang
pelajar yang murung tidak akan berjaya dalam akademik.
CABARAN
YANG DIHADAPI OLEH INDIVIDU PINTAR CERDAS
Memiliki atau menjadi individu
pintar cerdas dan berbakat ini sememangnya suatu rahmat daripada tuhan. Namun,
walaupun mereka diberikan anugerah ini, mereka tetap berhadapan dengan isu dan
cabaran dalam hidup mereka. Isu dan cabaran yang mereka hadapi ini sudah
pastinya akan memberi kesan terhadap perkembangan mereka. Cabaran yang mereka
hadapi ini memungkinkan kita akan kehilangan aset yang berharga buat agama,
bangsa, dan negara. Berikut merupakan isu dan cabaran yang dihadapi oleh individu
pintar cerdas dan berbakat.
Sistem
Pendidikan
Sistem pendidikan
merupakan institusi yang memberikan pendidikan kepada semua individu sehingga
mereka boleh memberikan sumbangan kepada negara semula. Pelbagai program telah
dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha untuk
menjaga murid pintar cerdas dan berbakat ini. Antaranya ialah Ujian Penilaian
Tahap Satu yang difokuskan kepada murid tahun tiga. Namun, program ini hanya
dijalankan selama lima tahun sahaja. Kini, negara boleh berbangga dengan
program terbaru iaitu Permata Pintar kendalian Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM). Program ini bermula pada 17 Januari 2011. Terdapat empat program yang
telah diperkenalkan iaitu Pintar Permata (akademik), Pintar Seni (seni), Pintar
Insan (agama), dan Pintar Kurnia (autisme). Cabaran sistem pendidikan negara
ialah pihak yang terlibat perlu memastikan setiap program yang dilaksanakan
dengan mantap dan berkesan.
b Perbelanjaan
Perbelanjaan
merupakan isu atau cabaran yang sangat signifikan dalam sesuatu perkara. Setiap
program yang dilaksanakan menelan kos yang cukup tinggi dan telah menyebabkan
beberapa program yang telah dijalankan sebelum ini terpaksa diberhentikan.
Selain itu, kerajaan juga memerlukan kos yang tinggi untuk menghantar murid
pintar cerdas ke luar negara demi memastikan mereka mendapat pendidikan yang
sempurna. Seperti kes Sufiah Yusof, kerajaan telah menghantar beliau ke Universiti Oxford seawal 13 tahun. Namun, kita terpaksa berputih mata kerana permata tersebut hilang selepas belajar beberapa tahun belajar di sana. Akhirnya, beliau telah terjerumus dalam industri pelacuran di sana membabitkan kelas atasan. jelaslah bahawa hal ini telah memberi kesan kepada kerajaan dan negara.
c Guru
dan Ibu Bapa
Ketiadaan strategi
yang kreatif telah menyebabkan pendekatan yang digunakan untuk mengajar murid
pintar cerdas ini tidak berkesan. Menurut Chiam (1992) menyatakan bahawa
perhatian yang kurang dan tidak sempurna terhadap intelek akan memerangkap
murid ini terperangkap dalam kumpulan berpencapaian rendah. Hal ini mungkin
disebabkan oleh pengetahuan dan kemahiran guru yang kurang dalam mengedalikan
murid pintar cerdas dan berbakat ini. Oleh itu, guru seharusnya diberikan
pendedahan yang banyak untuk menangani perkara ini agar sesi PdP tidak
membosankan murid pelajar pintar cerdas dan berbakat.
d Menentukan
Bidang Yang Sesuai
Perkembangan
tidak boleh dirancang dan pembelajaran boleh jadi terpendam. Mungkin masanya
belum tiba untuk mereka menjadi terserlah dalam bidang tertentu. Sejarah
mencatatkan banyak individu yang tidak menonjol atau disalah anggap sebagai
lembab oleh guru semasa kecil. Ini adalah akibat kadar pembelajaran mereka yang
tidak sekata dan juga sikap guru yang tidak sensitif. Pelajar pintar cerdas
menunjukkan kebolehan am yang lebih tinggi, tetapi ini tidak memadai tanpa
menemui kekuatan sebenarnya yang tidak setanding oleh orang lain. Pengkhususan
dan usaha berterusan adalah kunci kepada kejayaan dalam mana-mana juga
lapangan. Mereka yang berjaya bukan berkebolehan dalam segala apa kerja, mereka
hanya berjaya dalam bidang kekuatan mereka sendiri. Pekerjaan dan bidang yang
tidak sesuai menjadikan seseorang yang pintar cerdas menjadi biasa.
e Persekitaran
Faktor persekitaran seperti budaya keluarga, sumber
keluarga, taraf sosio-ekonomi, pendedahan dan peluang merupakan faktor yang
penting untuk mempercepatkan perkembangan. Antara faktor yang penting
termasuklah guru yang memahami dan persaingan budaya sekolah. Budaya sekolah
yang tidak mementingkan persaingan secara tidak langsung menjejaskan
perkembangan mereka. Budaya yang lain termasuklah disiplin, keterbukaan,
hubungan guru-pelajar dan budaya aktiviti ko-kurikulum. Walaupun pelajar
pintar-cerdas yang popular dan memiliki konsep kendiri yang positif juga
menghadapi masalah-masalah yang tertentu. Masalah-masalah ini adalah akibat
keistimewaan yang ada pada mereka dan faktor persekitaran seperti kesedaran
masyarakat yang rendah, guru yang tidak sensitif dan tidak prihatin. Konflik
keluarga juga satu aspek yang perlu diberi perhatian oleh pengkaji akan datang.
Oleh itu, ia amat penting bagi ibubapa dan guru untuk mengenalpasti masalah
yang mungkin timbul seperti yang diterangkan seterusnya.
f Masalah
Dalaman
i.
Kekosongan
jiwa
Mereka
mampu membaca buku pada tahap yang lebih tinggi daripada rakan sebaya mereka.
Mereka diiktiraf sebagai genius oleh semua orang, berpengetahun yang luas,
pemikiran yang tajam, pemahaman yang luar biasa dan sebagainya. Di sebalik
kepintaran mereka, mereka sebenarnya menghadapi krisis mental, krisis identiti
dan tidak mempunyai minat yang khusus. Mereka tidak memahami bagaimana dan di
manakah mereka patut menyalurkan kecerdasannya. Mereka keliru dengan masa depan
mereka. Jiwa mereka kosong dan cetek, tidak ada emosi, seolah-olah mereka tidak
pernah merasa, wujud dan hidup. Jiwa dan hidup mereka bagai kapal tanpa kelasi,
terbawa-bawa arus yang tidak menentu. Setakat ini, semua perbincangan yang
menuju kepada golongan pintar cerdas seolah-olah menggambarkan golongan ini
adalah sempurna dan tinggi pencapaiannya secara keseluruhan seperti
bercita-cita tinggi, bertanggungjawab dan dedikasi. Gambaran ini sebenarnya
membahayakan. Perkembangan yang tidak seimbang adalah sesuatu yang biasa bagi
mereka. Kekosongan jiwa ini bermaksud, mereka hilang hala tuju. Mereka
merasakan hidup ini tidak bermakna dan nyawa mereka tidak bernilai. Walaupun
keadaan ini berlaku kepada golongan pintar cerdas yang menghadapi masalah
kemurungan secara sementara, ia adalah lebih kerap berlaku pada
individu-individu yang tertentu, dan ia belaku secara kronik pada golongan ini.
Seseorang yang tinggi pencapaian matematik atau bahasa mungkin cetek dari segi
pemikirannya. Kecerdasan eksistensialisme (kewujudan), kecerdasan intrapersonal
yang rendah menjadikan mereka susah menangani masalah sosioemosi. Mereka tidak
berfikir panjang dan mensia-siakan bakat yang ada pada mereka disebabkan mereka
tidak mengenal apa yang dikejar-kejar dalam hidup mereka. Mereka berasa keliru
dengan apakah makna hidup ini dan menimbus kekosongan jiwa ini dengan mengejar
nama, kedudukan, prestij dan kebendaan. Masalah mereka tidak dapat diatasi
dengan mencapai kejayaan ini, sebab ia tidak memberi kepuasan sebagaimana yang
dijangka. Siapakah golongan yang menghadapi masalah ini? Mereka mungkin
bercita-cita tinggi tanpa memberi komitmen kepada apa yang ingin dicapainya.
Mereka mungkin mengatakan dia ingin menjadi Bill Gate atau memasuki Universiti
yang ternama tanpa menunjukkan usaha dan pengetahuan yang sewajarnya. Selain
daripada itu, kadar membunuh diri dalam kalangan mereka juga tinggi, selain
tanda-tanda masalah emosi yang lain seperti kemurungan, gaya pemakanan yang
tidak seimbang, penyalahgunaan dadah atau arak, hubungan seksual yang rambang
dan lain-lain. Perkembangan yang menyeluruh adalah sangat penting bagi golongan
ini sebagai faktor pelindung. Kepentingan kaunseling di sini bukannya untuk
memahami masalah mereka, tetapi membantu mereka memahami tentang diri mereka.
dan ini mungkin disebabkan oleh perkembangan kecerdasan intrapersonal yang
tidak matang.
ii.
Masalah
kesempurnaan dan emosi yang sensitif
Sikap kesempurnaan boleh menyebabkan
mereka takut kepada kegagalan sehingga mereka menjadi seorang yang putus asa.
Pelajar pintar cerdas memerlukan data-data yang lengkap sebelum manjawab
soalan-soalan yang diberikan. Mereka lebih suka mencari jawapan sendiri kerana
mereka tidak suka bersosial. Sikap sensitif dan perkembangan minda mereka
membolehkan mereka memikirkan hal-hal seperti peperangan, kebuluran,
pencemaran, ketidakadilan dan keganasan. Jika mereka terlampau memikirkan
isu-isu ini mereka akan mengalami masalah “introverted” dan mungkin menjurus
kearah “existential depression”
g Keyakinan
Murid
Segelintir individu pintar cerdas selalu
bergelut dengan isu masalah keyakinan. Konsep kendiri mereka tidak menentu.
Mereka mungkin sangat yakin pada satu masa dan menjadi tidak yakin pada masa
lain (sifat kompleksiti). Apa yang menyebabkan situasi ini berlaku walaupun
mereka memiliki kelebihan yang nyata dalam persaingan? Ini adalah akibat
daripada sikap kesempurnaan yang tidak sihat. Mereka menjangka terlalu tinggi
terhadap pencapaian mereka sendiri. Jangkaan yang tinggi ini adalah salah satu
pendorong kuat kepada pencapaian tinggi. Namun begitu, ia juga membawa tekanan
yang besar kepada diri mereka sendiri. Jurang yang besar antara jangkaan dan
kebolehannya yang nyata menjadikannya merasakan dirinya tidak sempurna. Untuk
membantu mereka dalam masalah ketidaksempurnaan ini, guru dan ibubapa perlu
mengingatkan mereka bahawa mereka tidak perlu menjadi sempurna pada setiap
masa. Kesempurnaan adalah biasa dalam kalangan pintar-cerdas, tetapi “neurotic
perfectionist” menjadi satu masalah psikologi. Ini kerana ia menjejaskan konsep
kendiri pelajar pintar cerdas dan memberi kesan negatif kepada hubungan
perseorangan seperti cenderung menyalahkan orang lain apabila gagal, sukar
bekerjasama, selalu menyalahkan sendiri dan sebagainya. Ia adalah benar bahawa
golongan pintar cerdas memiliki kelebihan dalam persaingan. Walaubagaimanapun,
ini tidak bermakna mereka akan berasa yakin diri, sebab mereka mungkin tidak
membandingkan diri dengan orang lain. Sebagaimana yang kita ketahui, golongan
ini mendukung sistem nilai yang tersendiri, mereka mungkin tidak berminat
membandingkan dirinya dengan orang lain dari segi pencapaian akademik, kerjaya
dan sebagainya. Sebaliknya, mereka seolah-olah membuat sesuatu akibat dorongan
dalaman sendiri. Dengan erti kata lain, mereka membandingkan diri mereka
sendiri dan jangkaan yang tinggi selalunya memberi tekanan kepada mereka
sendiri. Kesempurnaan diri merupakan satu motivasi yang kuat dalam mempengaruhi
tingkah laku mereka. Semua individu mempunyai keupayaan yang tersendiri.
Pelajar pintar cerdas tidak terkecuali daripada keunikan tersebut. Sebagai
contoh, seseorang yang mencapai tahap yang tinggi dari segi kecerdasan bahasa
dan logik matematik mungkin mempunyai kelemahan dalam kemahiran fizikal seperti
mengimbangkan badan, kordinasi badan ataupun tidak mempunyai bakat dalam
melukis atau menyanyi. Jika pelajar ini diletakkan dalam situasi di mana dia
perlu menggunakan kecerdasan kinestetik, muzik dan visual ruang, dia mesti
berasa malu dan janggal kerana mempunyai maruah diri yang tinggi dan bersifat
sensitif. Perkembangan yang tidak seimbang ini mungkin boleh menimbulkan
pelbagai masalah dalam kehidupan mereka. Pada masa yang sama, keyakinan yang
terlalu tinggi juga menjejaskan perkembangan mereka. Memandangkan mereka
mempunyai kebolehan akademik dan kebolehan mental yang lain, sesetengah individu
menjadi terlampau yakin dalam dunia yang berorientasikan akademik. Akibatnya,
mereka tidak nampak kelemahan sendiri dan hidup dalam dunia sendiri. Masalah
keyakinan (terlampau yakin atau inferioriti) ini akan menjejaskan pandangan
orang lain terhadap diri mereka.
PENDEKATAN
PENGAJARAN UNTUK PELAJAR PINTAR CERDAS
Secara umumnya,
sebenarnya tiada satu pun pengajaran khas yang boleh dianggap sebagai
pendekatan yang mantap untuk digunakan oleh seseorang guru. Seseorang guru
seharusnya mempunyai pemikiran yang kreatif untuk menarik minat seseorang
pelajar pintar cerdas dan tidak menggunakan kaedah pengajaran tradisional. Khadijah
M. Shahid (1992) yang membuat kajian ke atas beberapa pelajar pintar cerdas
mendapati bahawa mereka mudah berasa bosan dan kecewa dengan suasana di sekolah
kerana kebanyakan guru yang mengajar menggunakan kaedah tradisional, yang
umumnya kurang memahami kehendak dan cita rasa mereka. Berikut merupakan pendekatan yang telah dicadangkan :
a. Pendekatan
koperatif
Pendekatan koperatif merupakan pendekatan yang
berpusatkan kepada murid. Pendekatan ini memerlukan para pelajar bekerjasa
untuk menyelesaikan setiap tugasan yang diberikan oleh guru. Persekitaran yang
membina ini akan menyebabkan pelajar pintar cerdas lebih bersemangat dan tidak
bosan. Menurut Chiam (1992), pelajar-pelajar pintar cerdas ini
akan mengalami kekecewaan jika mereka tidak mendapat galakan dan rangsangan
yang mencabar dalam bilik darjah. Oleh itu, guru wajar menyediakan PdP yang
tidak hanya menguji intelek pelajar tetapi menyentuh aspek perkembangan lain
seperti bersosiolisasi, berkomunikasi, emosi, dan tingkah laku.
b. Pendekatan Inkuiri
Pendekatan
inkuiri merujuk kepada pendekatan berpusatkan murid. Pendekatan ini memerlukan
murid membuat penerokaan terhadap tugasan yang telah diberikan oleh guru.
Pendekatan ini sangat sesuai kepada murid pelajar pintar cerdas kerana mereka
sukakan cabaran untuk menjana pengetahuan mereka. Aktiviti-aktiviti dirancang
sebegitu rupa supaya murid berpeluang melibatkan diri secara aktif dalam
pembelajaran (Pusat Perkembangan Kurikulum 1994). Hal ini akan menyebabkan
pelajar pintar cerdas akan berkongsi pengetahuan (intelek), memupuk nilai-nilai
murni (rohani), bertimbang rasa (emosi) dan mempertingkatkan kemahiran
berkomunikasi (sosial) bersama –sama dengan rakan – rakan yang lain dalam
kumpulan. Oleh itu, pendekatan inkuiri ini juga sesuai digunakan oleh guru
untuk mengajar murid pintar cerdas dan berbakat ini.
c. Pendekatan Kolaboratif
Pendekatan
kolaboratif pula merujuk kepada hubungan kerjasama antara guru pendidikan khas
dengan guru aliran perdana. Pendekatan ini sangat penting kerana suasana PdP
yang tidak kreatif akan menyebabkan murid pintar cerdas akan hilang minat untuk
belajar. Ketiadaan strategi ini mungkin berpunca daripada kekurangan
pengetahuan dan kemahiran guru pelajar aliran perdana untuk mengendalikan murid
ini. Oleh itu, kerjasama ini dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru
tersebut. Guru – guru boleh bekerjasama dalam proses penyediaan rancangan
pengajaran, objektif, aktiviti yang sesuai untuk pelajar ini.
d. Pendekatan Bermain Sambil Belajar
Kaedah
bermain adalah kaedah pembelajaran yang mendekatkan diri pelajar kepada
pengalaman sebenar secara langsung, terutama apabila mengajar konsep atau
kemahiran. Apabila digunakan secara berkesan boleh menambah respon murid dan
kepekaan kepada perasaan orang lain, iaitu murid tidak akan dapat memahami atau
mengaplikasikan prinsip yang dipelajari dengan berkesan dan bermakna kecuali
diberi peluang menyaksikan sendiri situasi sebenar dan menilai hasil aplikasi
mereka dalam situasi bermasalah. Murid berpeluang dan boleh mempertingkatkan
kebolehan empati, menambah kepekaan proses interaksi dan memiliki kebolehan
menganalisis situasi secara objektif. Kaedah bermain sambil belajar merupakan
situasi yang dilakukan secara spontan dengan arahan dan bahannya diambil
daripada kisah benar. Untuk kaedah ini digunakan dengan berkesan, beberapa
proses asas harus diikuti iaitu:
·
Pengenalan dan kesedian murid
Murid berada
dalam keadaan baik untuk belajar apabila mendapati reaksinya terhadap situasi
sebelum ini tidak memuaskan. Maka dengan ini murid akan bermotivasi untuk
mencuba cara yang baru. Contohnya membentangkan situasi bermasalah dengan
beberapa cara bereaksi terhadapnya dan murid memilih cara bereaksi jika dia
terlibat dalam situasi itu. Lepas itu murid dikehendaki menunjukkan empati atau
yang boleh membina perasaan empati. Misalnya, jika rakan kamu cedera selepas
menggunakan alatan tajam, apakah yang perlu kamu lakukan dan bagaimana kamu
menunjukkan tanda simpati dan cara membantunya.
·
Mendefinisikan situasi dan peranan
Situasi
dibentuk oleh murid dengan bimbingan guru. Namun dalam pendidikan khas, guru
haruslah membentuk situasi dan memberi arahan yang lebih jelas supaya murid
lebih memahami situasi serta dengan bimbingan berterusan. Selepas pemilihan
murid-murid yang terlibat, maka mereka akan melakukan lakonan itu. Guru
haruslah membantu murid mendapatkan pengertian tentang masalah dan berasa
selesa dalam peranannya.
·
Menyediakan
Kelas untuk Pemerhatian dan Analisis
Fasa ini melibatkan mengorientasikan murid yang memerhati supaya
mereka tahu tanggungjawab mereka dan akan melibatkan diri secara aktif dalam
pengalaman pembelajaran. Kemudian murid diminta memberi pendapat tentang isu
yang dilakonkan.
·
Bimbingan
Guru membimbing murid khas dalam lakonan yang ditentukan. Murid
melakonkan watak contohnya pekebun sayur di kebun sayurnya yang menghadapi
masalah dimusnahkan oleh haiwan ternakan. Pelajar dibimbing melakonkan setiap
watak, pekebun, tuan punya kebun, tuan punya haiwan dan watak lain.
·
Analisis
dan perbincangan
Pada peringkat ini, guru
dan murid membuat analisis dan perbincangan tentang keseluruhan tema yang
dilakonkan dan mengeluarkan daya kreativiti penyelesaian masalah secara
spontan. Guru dan murid akan bersoal jawab tentangnya.
e. Pendekatan Kumpulan, Kelas, dan
Individu
i.
Pendekatan
kumpulan
Pendekatan berkumpulan bermaksud murid bekerja dalam kumpulan. Walaupun
berkumpulan setiap murid mengekalkan individualitinya dan dibantu untuk
menyumbang idea kepada kumpulan. Setiap murid dalam kumpulan bertanggungjawab
berkongsi idea dan memberi sumbangan yang baik, bukan mengikut sahaja. Guru
memainkan peranan penting lebih-lebih lagi bagi murid pendidikan khas. Guru
haruslah memastikan murid boleh mengalami pembelajaran bertujuan dan matlamat
serta objektif kumpulan secara beransur dan penilaian diadakan berterusan. Guru
mestilah berulang-ulang kali menyatakan objektif kerja secara kumpulan, kelas
dan individu. Ini supaya murid memahami peranan dan akan meningkatkan kerjasama
untuk kejayaan kerja kumpulan. Pendekatan kumpulan sebagai satu kaedah
pengajaran membantu murid menjadi bebas serta yakin dan pada masa yang sama
belajar bahawa seseorang itu bergantung antara satu sama lain. Ia sesuai
sebagai satu cara untuk mempertingkatkan penyesuaian sosial.
ii.
Pendekatan kelas
Pendekatan
pengajaran kelas pula, guru akan berada di hadapan kelas dan mengajar.
Murid akan memberi perhatian, membuat tugasan atau menulis dan lain-lain.
Selepas itu, pelajaran baru bermula, guru akan bertanyakan pelajaran lepas dan
meneruskan dengan maklumat baru, memberi sedikit kerja kelas, menekankan fakta
penting, menyoal, memberi tugasan untuk hari berikutnya, menjawab soalan murid
dan pelajaran berakhir. Walau bagaimanapun, dalam pendidikan khas, guru banyak
membimbing murid dalam tugasan ini, memberi tugasan yang mampu dilakukan oleh
murid. Apabila murid faham akan pelajarannya, maka penguasaan ilmu mereka akan
diuji melalui kerja-kerja latihan.
iii.
Pendekatan
individu
pendekatan
individu pula menekankan rancangan untuk sesuatu pelajaran itu mengambil
kira perbezaan murid. Setiap murid bekerja dengan bebas dan meneima bantuan
apabila mereka memerlukannya. Murid akan melalui pembelajaran mengikut kadar
kebolehannya. Jadual juga dirancang untuk mereka, tugasan akan disusun supaya
murid ini akan bekerja berterusan. Ada beberapa kaedah untuk pengajaran
individu seperti:
i)
Menggunakan
panduan yang rancangannya ditulis mengarah murid dalam pembelajarannya. Dalam
panduan itu, guru memberi objektif serta aktiviti yang disusun mengikut urutan
supaya pada akhir aktivti itu, objektif pembelajaran tercapai. Dengan cara ini,
murid boleh membuat tugasan mengikut kadar kebolehannya. Melalui kaedah ini,
segala arahan dan tugasan sentiasa ada dan panduan belajar menyatakan apa yang
perlu dilakukan.
ii) Bahan dan program juga merupakan
kaedah yang digunakan dalam pendekatan individu. Setiap langkah mempunyai
sedikit matlamat, disusuli dengan soalan dan meminta respon daripada murid.
Apabila murid memberi respon, dia akan ditunjukkan dengan jawapan yang betul
yang memberi peneguhan kepada tindakan murid tersebut. Maklumat baru,
kemahiran, saranan dan cadangan dimasukkan dalam program itu.
iii) Memberi tugasan individu yang sesuai
dengan tahap murid. Tugasan individu ini berbeza dari segi kuantiti dan kualiti
mengikut kebolehan dan keperluan murid.
iv) Menggunakan tahap kesukaran dalam
program pengajaran dan juga menggunakan tahap jangkaan dalam memperihalkan
kemajuan atau kualiti murid. Apabila murid diberikan tugasan mengikut tahap
kesukaran tertentu, maka setiap tahap itu menjadi tahap jangkaannya. Murid itu
diharap akan mencapai kualiti dan kuantiti kerja yang dibentuk untuk tahap itu
dan kemajuannya dilapor secara berterusan.
f.
Pendekatan Berasaskan Penyelidikan
Meese (2001) dalam bukunya “Teaching
Learners With Mild Disabilities Intergrating Research and Practice” Second
Edition, menyenaraikan beberapa pendekatan berasaskan penyelidikan, iaitu:
a) Pengajaran Secara Terus
Pengajaran ini
berprinsipkan penilaian secara berterusan dan dibuat secara langsung dan menekankan
kepada komponen-komponen kemahiran tertentu dalam memberi tugasan kepada murid.
Ia juga berfokuskan kepada kecekapan guru pendidikan khas dalam merealisasikan
teknik pengajaran untuk membantu meningkatkan pencapaian murid.
Pendekatan ini telah diperkenalkan
oleh Bereither dan Engelmann (1996). Pengkaji ini telah menggunakan pengajaran
secara berstruktur dan pendekatan secara berulang-ulang dalam mengajar
kemahiran asas kepada pelajar. Antara kebaikan pendekatan ini ialah, ia jelas,
pengajaran dapat dijalankan dengan teratur, berfokuskan kepada kemahiran
tertentu sahaja, cepat dan sistematik serta dapat memberi maklum balas yang
baik kepada murid.
b) Pengajaran Strategi Kognitif
Murid khas dengan
ketidakupayaan ringan merupakan murid yang agak sukar untuk mengaplikasikan apa
sahaja kemahiran dan tingkah laku yang dipelajari di dalam kelas ke dalam
situasi baru atau aktiviti di luar kelas. Oleh itu, dengan adanya gabungan
strategi pengajaran seperti modifikasi tingkah laku kognitif, strategi pengajaran
dan pembelajaran dan strategi pengajaran metakognitif dapatlah membantu murid
memberi tumpuan, tujuan, memilih strategi yang sesuai dan efektif dalam
menjalankan tugas dan dapat mengawal perkembangan individu.
C) Bimbingan Rakan Sebaya
Penglibatan rakan sebaya
adalah amat penting dalam mempengaruhi pembelajaran murid khas di dalam kelas.
Ia juga dapat meningkatkan pencapaian murid dengan memaksimumkan masa dalam
proses pengajaran dan pembelajaran akademik. Apa yang penting adalah interaksi
antara mereka dalam menjalankan tugas seperti mewujudkan kerjasama antara
mereka. Guru akan memainkan peranan sebagai perancang, melatih murid untuk
berkongsi dengan rakan-rakan sebaya agar dapat memastikan objektif pengajaran
dan pembelajaran tercapai.
d) Pembelajaran Berasaskan Keadaan Sebenar
Pendekatan
ini akan dapat membantu murid dengan ketidakupayaan ringan mengaplikasikan apa
yang telah dipelajari dalam masalah yang dihadapi dalam keadaan sebenar atau
aktiviti luar kelas seperti perkebunan. Murid akan lebih bersedia untuk
menghadapi keadaan sebenar apabila murid tersebut telah didedahkan dengan
pembelajaran yang berbentuk pengalaman sebenar yang akan berlaku di luar kelas
apabila proses pengajaran pembelajaran dijalankan di dalam kelas.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, kita berharap agar pelajar pintar
cerdas dan berbakat ini dijaga dengan baik bagi menjamin kesejahteraan agama,
bangsa dan negara. Negara kita memerlukan golongan ini untuk memacu pembangunan
negara dalam semua bidang yang mereka ceburi. Sewajarnya, kita harus menjaga
individu ini bukan hanya dalam akademik tetapi juga dalam aspek emosi, akhlak,
dan jati diri mereka. Oleh itu, kita berharap agar para cendekiawan Malaysia
merintis usaha – usaha untuk menyelamatkan permata ini daripada hilang dalam
peredaran masa.
RUJUKAN
Mohd
Zuri Ghani.2011. Pelajar Pintar Cerdas dan Berbakat. Unit Penyelidikan
Asas Universiti sains Malaysia.
Ann Magaret & Mohd Zuri Ghani, Pelajar Pintar Dan
masalah Yang Dihadapinya dalam Jurnal Pendidikan Khas, DP. Ji/id 8, Bil. 1/2008
Betting Sites with Promotions on Bingo, Poker, Roulette
ReplyDeleteMany 한게임 포커 클래식 gambling sites offer promotions like 배팅사이트 free 바카라주소 bets, bonus codes, and 토토 꽁머니 promotions that can be redeemed by new 슬롯 머신 사이트 users. All online betting sites