Tuesday, 8 December 2015

Kajian Bahasa : Dialek Sosial 'Whatsapp' Dalam kalangan Mahasiswa

Oleh : Haniff Asyraf

Bahasa Mencerminkan Keperibadian Seseorang


PENDAHULUAN

Umum mengetahui bahawa negara kita iaitu Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang bangsa. Antara kelompok bangsa yang besar ialah masyarakat Melayu, Cina, dan India. Selain itu, terdapat juga masyarakat bumiputera yang lain seperti masyarakat Orang Asli. Mereka menggunakan bahasa ibunda mereka tersendiri untuk berkomunikasi dengan orang lain. Namun demikian, kedudukan bahasa Melayu mempunyai kedudukan yang tinggi di Malaysia. Penggunaannya yang meluas telah menyebabkan bahasa ini tersebar dengan cepat. Hasilnya, bahasa utama yang diserap ini telah dipecahkan kepada beberapa subbahasa. Subbahasa ini muncul disebabkan oleh faktor pengguna dan penggunaan (Halliday, 1968). Kedua-dua faktor ini telah menyebabkan berlakunya variasi bahasa. Perbezaan yang timbul ini telah menarik minat para pengkaji untuk mengkaji aspek variasi bahasa yang dipengaruhi oleh masyarakat. Oleh itu, muncullah dialek geografi dan dialek sosial. Dalam kajian ini, kita akan memperkatakan tentang dialek sosial.

1.0 PENGENALAN

1.1 Latar Belakang kajian

Secara definisi, dialek sosial merujuk kepada kelainan bahasa yang dapat dibezakan secara tegas daripada bahasa yang lain melalui ciri lafaz, kosa kata dan tatabahasa disebabkan oleh kumpulan penutur (Matthews & Holmes, 1992 : 140). Menurut Asmah Hj Omar (1991 :31), dialek-dialek yang terdapat di Semenanjung Malaysia telah dikelompokkan kepada lima kawasan utama iaitu kelompok barat daya yang terdiri daripada kelompok Kedah, Perlis, Pulau Pinang yang meliputi Perak Utara, sementara kelompok Timur Laut diwakili oleh dialek Kelantan, seterusnya kelompok Timur yang meliputi Terenggganu, selanjutnya kelompok Selatan yang meliputi dialek yang dituturkan di Johor, Melaka, Pahang, Selangor dan Perak Selatan dan akhirnya kelompok yang mewakili dialek Negeri Sembilan. Kumpulan sosial lazimnya ditentukan menerusi ciri seperti pendidikan, pekerjaan, tempat kediaman, dan tahap pendidikan.

Dalam kajian ini, kita akan menganalisis tentang dialek sosial yang digunakan oleh kelompok kecil pelajar lelaki di sebuah universiti awam di uatara Malaysia. Kajian ini akan bertumpukan kepada aspek pengaruh dialek dalam aplikasi ‘Whatsapp’.

1.2 Definisi Konsep

Dialek merupakan satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau sesuatu kelas sosial dan berbeza daripada bahasa standard dan loghat  (Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka Edisi ke-4). Dialek juga boleh boleh dirujuk sebagai bahasa yang berbeza dari segi sebutan, kosa kata dan tatabahasa daripada bahasa baku. Dialek sering digunakan dalam keadaan situasi tidak rasmi seperti dalam perhubungan kekeluargaan dan perhubungan harian. Menurut Nik Safiah Karim (1995), dialek dirujuk sebagai jenis bahasa yang digunakan dakam percakapan di sesebuah daerah atau bahagian negeri yang mempunyai pelat sebutan khas dan berbeza daripada sebutan standard yang digunakan di negara ini. Sebutan bahasa baku merupakan suatu bentuk yang telah dikodifikasi bagi menghasilkan satu variasi bahasa baku yang sempurna dan seragam di bawah Perancangan Korpus Bahasa Melayu.


2.0 OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian ini bertujuan untuk :

a) Menghuraikan dialek sosial dalam kalangan mahasiswa dalam aplikasi ‘Whatsapp’.
b) Mengenal pasti dan mengumpul data tentang kata ganti nama dan pemilihan frasa dalam aplikasi ‘Whatsapp’.
c) Mengenal pasti pengaruh dialek dalam perhubungan.

3.0 KEPENTINGAN KAJIAN

Hasil kajian ini penting untuk :

a. Memperlihatkan kelainan kata ganti nama dalam dialek ‘Whatsapp’.
b. Menambah bahan dokumentasi tentang kajian dialek.
c. Dijadikan sebagai panduan dan rujukan dalam pengajaran.


4.0 SKOP KAJIAN

4.1 Isu Kajian

Fokus kajian ini menjurus kepada penggunaan kata nama dan frasa yang digunakan dalam aplikasi ‘Whatsapp’ oleh mahasiswa. Aspek – aspek ini kemudiannya akan dibandingkan dengan bahasa Melayu baku.

4.2 Tinjauan Literatur

Dalam kajian bahasa yang telah ditulis oleh sarjana tempatan, terdapat banyak aspek dalam memperkatakan tentang dialek sosial. Dalam dialek bahasa Melayu, dialek – dialek yang digunakan mengikut kawasan seperti dialek Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, dan sebagainya. Dialek sering digunakan dalam dalam situasi tidak rasmi dan perbualan harian. Hal ini ditentukankan oleh faktor geografi atau faktor sosial. Perbezaan ini dapat dilihat berdasarkan kawasan kumpulan penutur yang berbeza. Abdul hamid Mahmood (2006) menyatakan bahawa penggunaan dialek dapat dibezakan dari segi sebutan, kosa kata, kata ganti nama, tatabahasa, dan gaya lagu bahasa. Bagi Nik Safiah Karim (1995) dialek merujuk kepada jenis bahasa yang digunakan dalam percakapan di sesebuah daerah atau bahagian negeri yang mempunyai sebutan yang khas, dan berbeza daripada sebutan umum. Nik Safiah Karim (1961), beliau menyatakan bahawa dialek Kelantan telah mengambil banyak kata daripada bahasa Melayu dan telah disesuaikan dengan pengucapan dialek tersebut.

5.0 BATASAN KAJIAN

Kajian ini hanya tertumpu kepada kelompok kecil mahasiswa sahaja. Oleh itu, setiap aspek yang telah dikaji ini tidak menggambarkan penggunaannya dalam keseluruhan komuniti masyarakat.

6.0 KUMPULAN SASARAN

Pengkaji telah memilih sekumpulan pelajar universiti awam di utara Malaysia dan mempunyai kumpulan tersendiri dalam aplikasi ‘Whatsapp’. Kumpulan tersebut terdiri daripada 17 orang pelajar yang datang daripada pelbagai latar. Empat orang daripadanya datang daripada negeri Kelantan, seorang daripada negeri Selangor, dan selebihnya berasal daripada utara Malaysia.



7.0 KAEDAH KAJIAN

Bahagian ini akan menjelaskan cara pengkaji mendapatkan data sebagai bahan kajian, kaedah penganalisisan data dan cara persembahan dapatan kajian. Perbincangan ini berdasarkan data yang dikemukakan dalam jadual dan lampiran yang berkenaan.

7.1 Mendapatkan Data

7.1.1 Kajian Perpustakaan

Kaedah ini digunakan dengan cara mkerujuk bahan – bahan seperti buku teks dan bahan rujukan di perpustakaan untuk mendapatkan maklumat tambahan tentang kajian. Oleh itu, kami telah mengunjungi perpustakaan awam untuk mendapatkan bahan bacaan yang berkaitan dengan dengan dialek. Antara bahan tersebut ialah buku – bku ilmiah dan tesis yang telah dihasilkan oleh sarjana tempatan. Di samping itu juga, kami turut melayari laman sesawang untuk mendapatkan maklumat tambahan berkaitan kajian.





7.1.2 Kaedah Pemerhatian

Kami akan melakukan kaedah pemerhatian ini dengan melihat cara sesuatu dialek dihasilkan. Pengkaji lebih menumpukan cara dari segi sebutan dialek itu terhasil. Oleh itu, pengkaji dapat menilai dan mengjangkakan dialek yang mungkin akan digunakan dalam aplikasi ‘Whatsapp’.

7.1.3 Kaedah Kerja Lapangan

Dalam kaedah ini, pengkaji akan turut serta dalam perbualan kelompok ini. Pengkaji juga akan terlibat dalam anggota kumpulan ‘Whatsapp’. Oleh itu, pengkaji dapat memahami budaya kelompok kajian.


7.2 Pengumpulan Data

Pengumpulan data dijalankan bagi membolehkan pengkaji menganalisis dan membahagikan data – data dalam kategori yang dipilih. Pengkaji akan berada bersama kelompok mahasiswa dalam tiga minggu untuk mendapatkan data. Pengkaji juga akan menemu bual beberapa orang mahasiswa untuk mendapatkan gambaran tentang budaya yang dibawa oleh mereka. Pengkaji menganggap bahawa data – data yang dikumpulkan dapat membantu kajian berdasarkan ketetapan objektif kajian. Fokus kajian ini ialah dialek sosial ‘Whatsapp’ dalam kelompok kecil mahasiswa.

7.3 Penganalisisan Data

Pengkaji telah menganalisis data – data seperti cetakan skrin, hasil temu bual, dan kerja lapangan. Penilaian terhadap penggunaan aplikasi ini dalam kelompok kecil mahasiswa mendapati bahawa terdapat beberapa perkara unik yang dapat dibentangkan dalam kajian ini. Berdasarkan batasan yang telah dibuat, pengkaji hanya melihat aspek – aspek seperti kata ganti nama, sebutan, dan frasa yang digunakan oleh kelompok ini.

8.0 DAPATAN KAJIAN

Dalam bahagian ini, pengkaji akan memaparkan dapatan kajian dan akan menjelaskan isu – isu yang menjadi objektif kajian ini dijalankan. Fokus kajian ini ialah penggunaan kata ganti nama, sebutan, dan frasa.

8.1 Kata Ganti Nama

Dalam kata ganti nama, terdapat dua dialek yang telah digunakan iaitu dialek sosial utara iaitu di Pulau Pinang dan Kelantan. Kata ganti diri ini tidak ketara dengan bahasa Melayu baku. Antaranya ialah aku, hang, kawe, demo. Kehadiran dialek Kelantan dalam kelompok ini mempengaruhi dialek utama di utara berkemungkinan disebabkan oleh mahasiswa Kelantan yang sedikit menyebabkan rakan – rakan yang lain terpengaruh dengan dialek tersebut.

Selain itu, terdapat juga pengaruh dialek Tamil seperti macha dan ane. Pengaruh ini hadir dalam kelompok ini disebabkan persekitaran di sekitar kampus. Hal ini disebabkan oleh kehadiran kedai mamak. Hal ini meungkin disebabkan oleh mereka ingin menyapa pekerja di kedai – kedai tersebut. Oleh itu, dialek ini juga mempengaruhi dialek utama mahasiswa.
Struktur penggunaan kata ganti nama ini juga mengikut hokum tatabahasa bahasa Melayu kerana berada di hadapan predikat. Sebagai contoh, dalam dialog pada Jadual 1, penggunaan ‘macha’ berada di hadapan predikat.

8.2 Pemilihan Perkataan

Dalam aspek pemilihan perkataan, terdapat perkataan yang boleh diketengahkan dalam kajian ini. Mereka sering menggunakan perkataan ‘jahat’ dalam perbualan harian sama ada di dalam atau di luar aplikasi ‘Whatsapp’. Kepentingan perkataan ini dalam kelompok ini ialah perkataan ini mempunyai banyak maksud mengikut konteks sesuatu ayat. Dalam bahasa Melayu, perkataan ‘jahat’ merujuk kepada perkara negatif, tidak baik atau buruk tingkah laku (Dewan Bahasa Pustaka Atas Talian). Namun, penggunaannya dalam kelompok ini merentasi makna sebenar. Keunikan ini boleh dilihat semasa mereka berkomunikasi dalam memperihalkan kecantikan, perkara baik, manipulasi keadaan, dan sebagainya.

Dalam Jadual 3, sebagai contoh, hasil kajian mendapati bahawa perkataan ‘jahat’ boleh membawa kepada perihal memanipulasikan sesuatu keadaan. Hal ini disebabkan oleh mereka tidak ingin perbualan mereka difahami oleh orang lain yang di luar kelompok mereka. Dalam contoh ayat dalam Jadual 3, pemilihan perkataan tersebut telah mengubah maksud sebenar yang ingin disampaikan. Hanya satu perkataan digunakan untuk menyatakan ayat ‘Jahat awek tu’ iaitu ‘Jahat’ yang merujuk kepada ‘Comel awek itu’. Oleh itu, orang lain tidak akan memahami maksud tersirat yang ingin disampaikan kepada rakannya dan memudahkan mereka untuk berkomunikasi.

8.3 Pemilihan Frasa

Perkara yang menarik ialah dalam pemilihan frasa dalam kelompok mahasiswa ini. Mereka mempunyai kod - kod unik bagi memberi mesej kepada rakan yang lain dan berkemungkinan orang lain tidak memahaminya. Mereka menggunakan dua perkataan untuk melahirkan sesuatu frasa dan seperti telah dikodkan ke dalam kelompok ini. Antaranya ialah ‘Lek luhh’, ‘Sepam dulu’, dan ‘PES luhh’. Kekuatan frasa yang digunakan juga sangat kuat kerana menggunakan penekanan pada perkataan awal. Hasilnya, mesej sebenar yang ingin di sampaikan hanyalah pada perkataan pertama manakala perkataan kedua penambah bagi menyedapkan mesej tersebut. Penyedap ayat yang sering digunakan ialah ‘luh’ dan ‘dulu’. Dalam bahasa Melayu standard, hal ini merujuk kepada ‘dahulu’. Penyedap ayat ini juga boleh dikategorikan ke dalam ayat partikel kerana boleh digabungkan dengan mana – mana perkataan seperti ‘jalan dulu’, ‘jap lu’, ‘mandi lu’ dan sebagainya.


9.0 RUMUSAN

9.1 Hasil daripada analisis kajian mendapati bahawa beberapa objektif kajian telahpun terjawab. Objektif pertama iaitu menghuraikan dialek sosial dalam kalangan mahasiswa dalam aplikasi ‘Whatsapp’. Hasil analisis ini membuktikan bahawa kelainan bahasa yang dapat dibezakan secara tegas daripada bahasa yang lain melalui ciri lafaz, kosa kata dan tatabahasa disebabkan oleh kumpulan penutur (Matthews & Holmes, 1992 : 140). Jelaslah bahawa definisi yang ditakrifkan oleh Matthews dan Holmes (1992) kuat dan terbukti melaui kajian ini.

9.2 Bagi objektif kedua iaitu mengenal pasti dan mengumpul data tentang kata ganti nama, perkataan pemilihan frasa dalam aplikasi ‘Whatsapp’. Pengkaji telah menggunakan beberapa kaedah pengumpulan data dan memperoleh maklumat yang menarik dalam kajian ini seperti penggunaan perkataan ‘jahat’ yang membawa kepada banyak makna.

9.3 Bagi objektif ketiga pula iaitu mengenal pasti pengaruh dialek dalam perhubungan, pengkaji telah memperoleh gambaran bahawa persekitaran sememangnya memainkan peranan penting dalam pemilihan dialek khususnya dalam aplikasi ‘Whatsapp’. Melalui interaksi sekeliling, kelompok ini meyerap dan menggunakannya dalam perbualan harian khususnya dalam aplikasi ‘Whatsapp’.

10.0 PENUTUP

Kajian ini membuktikan bahawa terdapat beberapa keunikan dialek dalam kelompok kecil mahasiswa dalam penggunaan aplikasi ‘Whatsapp’. Kelaianan yang ditonjolkan oleh kelompok mahasiswa ini memanglah tidak mewakili keseluruhan anggota masyarakat tetapi mungkin boleh mempengaruhi masyarakat melalui penggunaan aplikasi ‘Whatsapp’. Dialek yang digunakan oleh kelompok mahasiswa ini tidak hanya berkisarkan dalam perbualan dalam aplikasi ‘Whatsapp’ semata- mata tetapi juga dalam perbualan harian. Dialek juga mempunyai pengaruh besar dalam kelompok ini kerana pertembungan dialek utara dan Kelantan telah menyebabkan pengaruh dialek kecil iaitu Kelantan cepat meresap ke dalam kelompok ini yang rata – rata tinggal di sekitar utara Malaysia iaitu Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan, Perak. Oleh itu, kajian ini diharap dapat membantu pengkaji untuk memahami dialek sosial yang digunakan oleh golongan remaja seperti kelompok mahasiswa dalam kajian ini.

RUJUKAN

Asmah Haji Omar. (2008). Susur Galur Bahasa Melayu, Dewan bahasa Pustaka.

Zaharani Ahmad. (1989). Dialektologi generative dan kepelbagaian dialek melayu. Jurnal Dewan Bahasa, 33(6), 402-414

Pecahan Dialek, http://nota-budak-ipg.blogspot.my/2012/12/pecahan-dialek.html

Isu Bahasa dan Dialek, http://isubahasa-dialek.blogspot.my/

Perbandingan Dialek Melayu Kelantan Dengan Bahasa Melayu Standard Dalam lirik Lagu, http://lukybloger.blogspot.my/2014/12/perbandingan-dialek-melayu-kelantan.html

Monday, 7 December 2015

Kajian Kes : Pengenalpastian Individu Pintar Cerdas dan Berbakat

Oleh :

Haniff Asyraf
Khairul Anam




PENDAHULUAN

Individu pintar cerdas dan berbakat merupakan individu yang memiliki keupayaan dan kebolehan yang luar biasa melebihi kebolehan rakannya yang lain. Pemberian ini merupakan anugerah daripada pencipta. Sejarah awal tentang pintar cerdas dan berbakat ini bermula daripada kisah empat orang kanak – kanak lelaki dari Jurusalem yang hendak dibawa ke Babylon untuk mendapatkan pendidikan di istana kerana kebijaksanaan mereka yang diceritakan dalam kitab mereka iaitu “King James Bible”. Cerita ini telah memberi gambaran awal tentang golongan yang mempunyai intelek yang tinggi akan diberi keutamaan ketika itu. Pada abad ke – 15, kesedaran mula timbul di negara Turki dan menyebabkan kerajaan Turki telah mengambil inisiatif dengan meyediakan kemudahan dan sumber pendidikan kepada anak mubaligh Kristian dan golongan rakyat yang terpilih. Di Malaysia, golongan ini mula diberi perhatian dengan terlaksananyan beberapa program dalam sistem pendidikan negara. Antaranya ialah Sistem Kelas ekspres (1962), Program BAKA (1985), Ujian Penilaian Tahap 1 (1996). Pada tahun 2011, Malaysia boleh berbangga dengan program yang telah dibentuk iaitu Program Permata Pintar. Program ini telah dipertanggungjawabkan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia. Program ini mempunyai empat kategori iaitu Permata Pintar untuk akademik, Permata Seni untuk seni, Permata Insan untuk agama, dan Permata Kurnia untuk yang didiagnosis mempunyai autisme. Program ini diharap mampu memelihara aset yang bernilai supaya boleh memberi sumbangan kepada negara kelak. 


1.0 PENGENALAN

1.1 Konsep Kajian

Pintar cerdas merujuk kepada seseorang yang mempunyai bakat dan potensi yang luar biasa serta melebihi kebolehan rakan seusia mereka. Individu yang mempunyai potensi yang yang tinggi dalam pelbagai aspek perkembangan dan pertumbuhan. Istilah ‘gifted’ dan ‘talented’ didefinisikan dalam dua istilah yang berbeza oleh pakar – pakar. Antaranya ialah Bragget (1998), beliau menyatakan bahawa “talent is seen to reflect a remarkable ability which, however, falls short of the superlative level characterised by true giftedness”. Gagne (1991, 1995) menyatakan bahawa kedua – dua istilah ini sangat sinonim dan beliau bersetuju bahawa pengekalan terhadap kedua – dua tersebut. Menurut beliau lagi, ‘giftedness’ dibeazakan melalui kapasiti semula jadi manakala ‘talented’ dirujuk sebagai perberkembangan potensi.

1.2 OBJEKTIF KAJIAN

Kajian ini bertujuan untuk :

a. Mengenal pasti individu pintar cerdas dan berbakat
b. Mengenal pasti kebolehan individu pintar cerdas dan berbakat di peringkat sekolah dan Universiti.
c. Menambahkan inventori kajian terhadap pintar cerdas dan berbakat.
d. Menilai perkembangan aspek tingkah laku, fizikal, kognitif, Bahasa dan komunikasi, dan pencapaian akademik individu.

2.0 Kajian Literatur

Terdapat banyak kajian tentang individu uang mempunyai kebolehan yang luar biasa ini. Menurut Clark. B (2013), individu yang mempunyai hubungan kecerdasan daripada sifat genetik dengan faktor persekitaran mampu meningkatkan darjah kepintarannya lebih daripada orang lain. Menurut beliau lagi, penambahan ini akan meningkatkan fungsi otak. Kecerdasan seseorang boleh dilihat melalui tingkah laku atau pencapaian yang menonjol dan pengesanannya dilakukan melalui pemerhatian dan alat penilaian (Clark. B, 2013). Namun, di sebalik kepintaran dan kecerdasan yang telah dianugerahkan kepada individu ini, terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi oleh individu ini dan pihak lain. Antaranya ialah individu ini kecewa kerana tidak mendapat rangsangan yang mencabar dalam kelas (Chiam, 1992), penggunaan kaedah pengajaran tradisional (Khadijah M. Shahid, 1992), kekurangan sokongan daripada keluarga, guru, dan rakan menyebabkan permasalahan dalam konsep kendiri (Lovecky, 1993), dan banyak lagi. Akibatnya, individu ini akan mengalami tekanan yang kuat dan mengambil keputusan di luar jangkaan seperti membunuh diri. Nelson dan Galas (1994) menyenaraikan tanda – tanda awal individu pintar cerdas dan berbakat ingin membunuh diri seperti mereka mengancam ingin membunuh diri sama ada secara langsung atau tidak langsung, perubahan mengejut dalam tingkah laku, mengasingkan diri daripada rakan, mula memberi barangan kesayangan mereka dan sebagainya. Oleh itu, individu yang mempunyai kebolehan luar biasa ini harus dijaga dengan baik.

3.0 METODOLOGI KAJIAN

Metodolgi merupakan suatu proses atau kaedah memperolehi maklumat atau data yang diperlukan dalam membuat sesuatu analisis data mengenai kajian yang dijalankan. Bagi melaksanakan tugasan kajian ini dengan sempurna, kami telah merancang metodologi untuk menjadi sebagai bahan rujukan , panduan atau analisis data bagi menyelesaikan kajian kami ini dengan sistematik dan teratur. Hal ini sedemikian, ia akan memudahkan kami untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan.

3.1 Latar Belakang Kajian

Saudara Hanif adalah anak ke dua daripada empat adik-beradik. Beliau dibesarkan dalam sebuah keluarga yang berpendapatan sederhana di mana bapanya bekerja sebagai penjual goreng pisang berdekatan rumahnya manakala ibunya merupakan seorang suri rumahtangga. Memandangkan keluarganya hidup bersedarhana, kehidupan mereka dilihat sangat berdikari dan saling membantu antara satu sama lain. Kakaknya yang sulung berusia 28 tahun manakala adik lelakinya yang bongsu berusia 12 tahun. Kini, adik bongsu saudara Hanif berada di darjah enam di Sekolah Kebangsaan Mengkuang, dan baru sahaja selesai menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah pada tahun ini.

Dalam sejarah tokoh-tokoh yang terdahulu, telah mencatatkan banyak individu yang mengatasi kekangan persekitaran seperti penindasan, kemiskinan dan menyerlahkan bakat mereka pada peringkat lewat hidup mereka. Kecerdasan yang terpendam akan berkembang pada masanya. Ini tidak bermakna pendidikan tidak penting dan kecerdasan hanyalah akibat faktor biologi semata-mata. Begitulah yang berlaku kepada saudara Hanif.  Bakatnya dalam sukan bola sepak sebagai seorang Penjaga Gol mula terserlah semenjak beliau berada di darjah empat dan terus menerus bersinar sehingga mendapat tempat untuk mewakili negeri Pulau Pinang dan Malaysia dalam sukan antara Universiti (ASEAN). Semenjak kecil bakatnya tidak langsung dihidu oleh ibu dan bapanya dan hanya menyangka kesukaan dalam bidang sukan hanya hobi semata-mata.

Menyentuh latar belakang ibubapanya, ibunya, Harishon Binti Hamid merupakan ibu yang sangat penyayang dan memahami setiap kelebihan dan kekurangan anak-anaknya. Puan Harishon dilihat sangat membantu dan menyokong minat Hanif. Ini dibuktikan apabila Puan Harishon membenarkan Hanif untuk pergi berlatih bersama kawan - kawan, membelikannya peralatan sukan yang diminta dan sering bertanyakan perkembangan Hanif kepada guru kelas dan guru sukannya. Sementara itu, ayah Hanif merupakan seorang yang sangat tegas namun cukup memberi sokongan yang padu kepada Hanif kerana En Ahmad percaya bidang yang diceburi oleh Hanif merupakan aktiviti yang sihat yang dapat  membantu dalam perkembangan mental, sosial dan meningkatkan keyakinanan diri anaknya itu.


3.2 Tempat Kajian

3.2.1 Rumah
3.2.2 Padang Bola


3.3 Kemahiran Yang Dikaji

3.3.1 Perkembangan tingkah laku
3.3.2 Perkembangan fizikal
3.3.3 Perkembangan kognitif
3.3.4 Perkembangan bahasa dan komunikasi
3.3.5 Pencapaian akademik

3.4 Instrumen
3.4.1 Kemahiran berfikir aras tinggi ( kbat )
3.4.2 Borang penilaian
3.4.3 Pita rakaman
3.4.4 Borang soal selidik
3.4.5 Kajian Lapangan


3.5 Kaedah Pengumpulan Data

3.5.1 Soal selidik

Kajian kami ini dimulakan dengan melakukan kaedah soal selidik. Kaedah ini digunakan untuk mengambil maklumat diri responden serta mengenai perkembangan mengikut beberapa aspek yang ditetapkan sebelum , semasa dan selepas kajian. Misalnya , maklumat diri responden kami akan mengemukan beberapa soalan dalam borang kaji selidik tersebut seperti nama , umur , jantina , bakat, minat dan sebagainya. Data – data yang kami perolehi ini secara tidak langsung ia akan membantu kami menyiapkan tugasan kami ini.

3.5.2 Temubual

Kaedah seterusnya yang kami gunakan ialah kaedah temubual. Kaedah ini digunakan adalah untuk mengukuhkan lagi data – data atau maklumat yang kami perolehi. Temubual ini dijalankan bersama responden, keluarga responden, dan kawan-kawan responden. Kami menemu bual mereka mengenai responden tersebut.Segala input yang berkaitan dengan responden tersebut kami sangat menghargainya kerana ia banyak membantu kami untuk menyiapkan tugasan kami ini.


3.5.3 Pemerhatian

Kaedah pemerhatian juga merupakan metodologi yang telah kami gunakan dalam kajian ini.Sebelum , semasa dan selepas kajian kami memerhati segala tingkah laku , emosi , pemikiran dan sebagainya tentang responden tersebut.Hal ini sedemikian , sedikit sebanyak ia akan membantu kami untuk membuat inferens serta menganalisis data yang telah kami perolehi.Setiap pemerhatian seseorang itu berbeza – beza. Apa yang dilihat berkemungkinan tidak akan sama. Jadi , berdasarkan pemerhatian yang dijalankan kami akan membuat refleksi terhadap responden tersebut. Setiap ahli dari kumpulan kami akan membuat refleksi berdasarkan apa yang diperolehi selepas kajian ini dijalankan.

3.6 Penganalisisan Data


Kami menggunakan sumber instrumen melalui kaedah pengumpulan data untuk menganalisis dan mengolah data bagi kajian ini. Kaedah pengumpulan data yang digunakan telah memberikan maklumat penting yang kami inginkan. Penganalisisan data dibuat secara berperingkat-peringkat dengan menilai setiap perkembangan yang berbeza-beza.


4.0 PERBINCANGAN

                                       
NAMA                            : MOHD HANIF BIN AHMAD
UMUR                            : 24 TAHUN
BANGSA                       : MELAYU
AGAMA                         : ISLAM
BIL. ADIK BERADIK : 4
ANAK KE                     : 2
NAMA AYAH              : AHMAD BIN KHAMIS
PEKERJAAN AYAH   : PENIAGA
NAMA IBU                   : HARISHON BINTI HAMID
PEKERJAAN IBU        : SURI RUMAHTANGGA
ALAMAT RUMAH      : 514 MUKIM 4, PERMATANG TENGAH, 13500 PERMATANG
                                          TENGAH, PULAU PINANG
TARIKH LAHIR          : 1 APRIL 1990
TEMPAT LAHIR          : HOSPITAL BESAR PULAU PINANG
PENDIDIKAN            : 1) RENDAH – SK MENKUANG
                                        2) MENENGAH – SMK PENANTI
                                        3) TINGGI – UNIVERSITI SAINS MALAYSIA
HOBI                            : BERSUKAN, AKTIVITI LASAK SEPERTI BERKAYAK,
                                        OBCIRCLE, FLYING-FOX, MEMANAH, CAMPING, HIKING.
                                        BERENANG, ABSELLING.
CITA - CITA                : PEMAIN BOLA SEPAK PROFESIONAL
BAKAT                        : PEMAIN BOLA SEPAK, KEPIMPINAN, AKADEMIK,
                                        DAN SAHSIAH




4.1 Keistimewaan Respondan Yang Dipilih

Perlu diketahui bahawa, kanak-kanak pintar cerdas juga memiliki ciri-ciri kepandaian berfokus iaitu hanya pandai dalam sesuatu bidang tetapi mempunyai kepandaian yang normal untuk bidang-bidang lain. Dalam bidang akademik,  responden sangat menguasai subjek teras iaitu bahasa Malaysia, Pendidikan Islam, dan bahasa inggeris. Responden mendapat markah tinggi dalam subjek berkenaan, namun kurang memuaskan dalam subjek matematik. Selain itu, pemilihan saudara Hanif adalah disebabkan pencapaiannya yang konsisten dalam bidang kokurikulum iaitu sering memegang trofi juara dalam setiap acara yang disertainya  dan turut diseimbangkan dengan kebijaksanaannya dalam bidang  akademik, kepimpinan dan sahsiah.  Berdasarkan keputusan di Peringkat Sekolah Menengah, Hanif pernah mendapat anugerah sebagai pelajar terbaik di sekolahnya untuk Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Manakala di peringkat Universiti pula, Hanif baru sahaja bergraduasi pada tahun ini di dalam Ijazah Sarjana Muda Kepujian Komunikasi dengan pointer yang baik. Bakat keistimewaan dalam bidang kepimpinan dapat dilihat apabila pernah dilantik menjadi penolong ketua pengawas ketika tingkatan lima, dan ketua pengawas pada tingkatan enam. Di peringkat Universiti pula, Hanif telah dilantik untuk menjadi Ahli Majlis Perwakilan Pelajar dan juga menjadi Kapten di dalam setiap perlawanan bola sepak yang disertainya. Selain itu juga, beliau turut menyandang jawatan sebagai Naib Yang Dipertua Dua bagi persatuaan Gabungan Anak-anak Pulau Pinang di Universiti Sains Malaysia.
Selain itu juga, saudara Hanif seorang remaja yang amat  aktif di dalam bidang sukan dan rekreasi apabila telah mendapat anugerah Perak dan Gangsa di dalam Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda dan pada saat ini beliau sedang menjalani latihan untuk mendapatkan pingat Emas. Selain itu juga, beliau pernah dinobatkan sebagai olahragawan tahunan di sekolah pada tahun 2009.

4.2 Dapatan Respondan Daripada Rakan-Rakan, Ibu Bapa

Melontarkan persoalan berkenaan masa depannya, remaja ini bercita-cita untuk menjadi seorang pemain bola sepak antarabangsa  apabila dewasa nanti. Ini menunjukkan Hanif merupakan seorang yang berpandangan jauh dan pandai mengeksplotasi bakatnya sebagai salah satu jalan untuk mebina karier satu hari nanti. Di sekolah, beliau menyukai pelajaran Matematik, Sains dan Pendidikan Agama Islam. Beliau menamatkan pembacaan al-Quran secara rasmi pada usia 10 tahun. Walaupun begitu, beliau masih meneruskan pembelajaran al-Quran dan mengajar Al-Quran untuk ahli keluarganya dan rakan-rakannya.

Selain itu, remaja ini selalu membantu ibu membuat kerja-kerja rumah seperti mencuci pinggan mangkuk di dapur. Beliau sedar ibunya perlu dibantu di rumah setelah penat bekerja mencari rezeki dari pagi hingga ke petang membantu ayahnya berniaga. Kerja-kerja pembersihan rumah dan membeli barang-barang keperluan di kedai berhampiran juga turut dibuatnya dengan rela. Pendek kata, remaja ini menjadi orang kanan ibunya pada ketika ayahnya berada di luar kawasan.

Sebagai anak lelaki, saudara Hanif sering tampil mewakili ayahnya menyertai aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang diadakan di tempat tinggalnya.  Pada usia seawal 9 tahun lagi, kanak-kanak ini sudah melibatkan diri secara aktif dengan masyarakat setempat dalam melaksanakan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong dan kenduri-kendara.  Beliau tidak culas dan tidak segan menyapu sampah, membuang sampah, dan membersihkan longkang yang sudah pasti baunya amat tidak menyenangkan. Remaja ini juga tampil menghulur khidmat dalam usaha membanteras denggi di kawasan tempat tinggalnya. Beliau sedar persekitaran yang kotor mengundang banyak masalah kepada ahli masyarakat umumnya dan ahli keluarga khususnya.

 Hasil didikan agama yang baik daripada orang tuanya, kanak-kanak ini turut mengimarah surau di tempat tinggalnya. Beliau meluangkan masa untuk bersolat fardhu Maghrib dan Isya secara berjemaah dan sering kali diangkat menjadi imam kerana dek kelebihannya dapat membaca Al-Quran dengan alunan yang merdu. Suaranya juga sering berkumandang di ruang udara melaungkan azan mengingati umat Islam agar segera menunaikan perintah Allah S.W.T.

Kesedaran ini timbul kerana beliau sering mengikuti ayahnya sejak kecil lagi menunaikan solat secara berjemaah di masjid ataupun di surau. Pada bulan Ramadhan pula, kanak-kanak ini tidak melepaskan peluang menggandakan pahalanya secara sukarela menjadi bilal dan Imam bagi solat sunat Tarawih. Di sekolah pula, kanak-kanak ini selalu ke hadapan mengetuai bacaan doa dalam perhimpunan rasmi mingguan sejak berada dalam tahun tiga lagi.

4.3 Perkembangan Tingkah Laku

Perkara ini dinamakan asynchronous yang bermaksud tidak sekata atau tidak berlaku mengikut peringkat atau kadar yang sepatutnya bersama-sama dengan perkara lain. Ain Hazwani et.al (2011) menjelaskan kanak-kanak pintar cerdas berkembang secara asynchronous iaitu perkembangan yang tidak selari dengan domain-domain lain. Sebagai contoh, kanak-kanak berusia 7 tahun mempunyai keupayaan intelektual seperti kanak-kanak berusia 12 tahun, berkeupayaan sosial seperti kanak-kanak berusia 9 tahun dan memiliki keupayaan emosi seperti umur sendiri. Rumusannya, perkembangan kanak-kanak pintar cerdas dari segi intelektual, emosi dan sosial adalah lebih cepat berbanding kanak-kanak biasa. Namun begitu, individu yang dikategorikan dalam pintar cerdas juga mempunyai beberapa kelemahan.

Dengan kata lain, mereka menggunakan kecerdasan yang ada pada mereka dengan cara yang lebih berkesan. Antara strategi pembelajaran adalah seperti:
“kalau saya tidak mengaplikasi apa yang dipelajari, saya akan lupa ”.
Imkplikasinya adalah mengaplikasi konsep yang baru dipelajari dengan sebanyak mungkin dalam situasi baru. Metakognisis yang matang ini juga bermakna mereka melatih diri. Mereka mencari peluang dan persekitaran untuk perkembangan diri. Mereka mengoptimalkan perkembangan intelek sendiri dengan intelek yang sedia ada. Begitulah saudara Hanif, beliau bersikap matang dan menurut ibunya, sewaktu di zaman persekolahan, Hanif sering menyiapkan kerja sekolah tanpa perlu disuruh oleh ibu bapanya. Di samping itu juga, ketika kini di peringkat remaja beliau sentiasa membantu kedua-dua ibubapanya dalam apa jua keadaan.

4.4 Perkembangan Fizikal

Perlu diketahui, bahawa unsur-unsur utama badan-kinestetik mengawal gerakan badan seseorang dan kapasiti untuk mengendali objek mahir. Kecerdasan ini merupakan kemampun menggunakan seluruh tubuh untuk mengekspresikan idea dan perasaan seperti penari, atlet dan pelakon. Keterampilan menggunakan tangan untuk menciptakan atau mengubah sesuatu, seperti tukang batu, ahli makenik dan doktor bedah. Kecerdasan ini meliputi kemampuan fizikal yang lebih spesifik seperti koordinasi, keseimbangan, keterampilan, kekuatan, kelenturan, kecepatan atau kemampuan menerima rangsangan. Howard Gardner memberikan secara terperinci untuk mengatakan bahawa kecerdasan ini juga termasuk rasa masa, rasa yang jelas matlamat tindakan fizikal, bersama-sama dengan keupayaan untuk melatih jawapan supaya mereka menjadi refleks.

Berbalik kepada pencapaian saudara Hanif, penglibatan beliau secara serius bermula pada tahun 2002 apabila memenangi pingat di peringkat sekolah, peringkat MSSD dan MSSN. Beliau telah dipilih untuk mewakili Pulau Pinang dalam Kategori Bawah 12 Tahun untuk Kejohanan Bola Sepak Pulau Pinang. Kekerapan memenangi pingat emas dalam sukan bola sepak telah banyak mengharumkan nama Sekolah Kebangsaan Mengkuang dan sekolah Menengah Kebangsaan Penanti, sama ada di peringkat daerah, negeri. Pihak sekolah amat berbangga dengan pencapaian beliau, dan beliau telah dipilih sebagai penerima Anugerah Olahragawan peringkat sekolah selama 2 tahun berturut-turut mulai tahun 2009-2010. Pada saat ini, saudara Hanif telah menjadi seorang jurulatih bola sepak secara sukarela di kedua-dua sekolah lamanya dan menjadi kebanggaan buat guru-gurunya.

 Selain bola sepak, saudara Hanif juga turut aktif dalam sukan sepak takraw, balapan olahraga dan seringkali berjaya bermain melepasi peringkat sekolah.  Beliau seringkali mencatat kemenangan dalam kejohanan sepaktakraw di peringkat MSSD setiap tahun sepanjang penglibatan beliau dalam sukan ini. Berikut adalah senarai penglibatan adik Khoir semenjak tahun 2002 :

1. Pengawas Sekolah     (2005-2009)
2.  Pertandingan Seven Soccer Kidz (Johan)
3. Kejohanan Merentas Desa MSSD Seberang Prai 2007
4. Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia 2010/2011
5. Pertandingan Bola Sepak Antara Universiti ( MASUM )
6. Pertandingan Sukan Antara IPTA ( SUKIPT )
7. Pertandingan Bola Sepak Antara Universiti ASEAN ( IMGT )
8. Pertandingan Bola Sepak Antara IPTA/IPTS ( DIVISYEN 2 )
9. Naib Yang Dipertua Dua Gabungan Anak-Anak Pulau Pinang ( GAPPI )

Walaupun bentuk dan saiz tubuh manusia adalah lebih banyak disebabkan oleh pengaruh-pengaruh bukan kebakaan seperti pemakanan, iklim, senaman dan juga pekerjaan, namun baka merupakan satu faktor yang mempengaruhi perkembangan aspek fizikal seseorang itu. Jika diperhatikan fizikal saudara Hanif, didapati responden adalah berbadan kecil. Warna kulit, warna mata dan warna rambut juga dipengaruhi oleh trait fenotaip iaitu lebih mengikut ibunya.

4.5   Pencapaian Akademik
 Banyak pendapat menyatakan bahawa pencapaian akademik seorang pelajar berkait dengan faktor kecerdasan mental pelajar, namun peranan faktor lain seperti faktor personaliti, faktor persekitaran, faktor psikologi dan sosiologi tidak boleh diketepikan. Dalam akademik, kanak-kanak itu akan suka berpandangan bahawa keputusan mereka dalam sesuatu matapelajaran tidak akan bagus dan akan mendapat keputusan yang kurang baik.  Potensi yang tinggi yang ditunjukkan mereka dalam akademik sudah semestinya membuatkan para ibubapa kanak-kanak tersebut berasa gembira dan bangga, serta menganggap mereka mampu menguasai semua matapelajaran yang kemudiannya akan memberi tekanan kepada mereka.

Kebolehan kanak-kanak yang pintar cerdas yang mampu menyiapkan tugasan lebih awal daripada rakan yang lain akan menyebabkan mereka berasa bosan, dan kemudiannya akan mengganggu rakan-rakan yang lain di dalam kelas. Walaupun mereka sentiasa cemerlang dalam akademik, tetapi kebanyakkan rakan-rakan di sekeliling selalunya akan menganggap golongan pintar cerdas ini menunjuk-nunjuk dengan kehebatan mereka. Berbeza dengan Hanif, walaupun prestasi akademik saudara Hanif baik, namun beliau sering membantu rakan-rakan yang lain. Oleh yang demikian, rakan-rakan berasa selesa untuk mendekati saudara Hanif. Ini merupakan contoh terbaik yang ditunjukkan oleh saudara Hanif sebagai murid yang berbakat di sekolah dan pelajar yang cemerlang di Universiti.

4.6      Perkembangan Kognitif

Istilah kognitif merujuk kepada aktiviti-aktiviti mental seperti berfikir, menaakul, menganalisis, membentuk konsep, menyelesaikan masalah dan sebagainya. Mampu memahami konsep yang canggih, abstrak dan kompleks. Ahli falsafah, contohnya adalah golongan yang tinggi kecerdasan. Kecerdasan berkait rapat dengan pemahaman abstrak. Pengetahuan atau skemata yang luas. Memahami banyak konsep yang tidak difahami kanak-kanak yang sebaya. Meminati permainan yang rumit dan mencabar seperti mainan ingatan, scrabble, silang kata, catur dan permainan komputer yang tertentu. Tumpuan tinggi, membaca secara senyap untuk masa yang panjang. Tidak suka diganggu, menjadi geram apabila diganggu semasa melakukan sesuatu yang diminatinya.

Melalui kaedah pemerhatian, saya mendapati responden dapat memahami manakah isu yang penting, idea yang teras, prinsip asas yang penting melalui borang penilaian yang digunakan dengan Kaedah Berfikir Aras Tinggi ( KBAT ). Palajar yang biasa hanya memberi perhatian kepada perincian yang kurang penting. Contohnya semasa melakukan hasil seni, responden mementingkan menghasilkan kerja yang tercantik, walaupun tidak mengikut cara yang dicadangkan oleh saya (mungkin menggunakan cara yang tidak terfikir oleh orang lain). Menyedari nilai hasil seni terletak pada kecantikannya, bukan kaedahnya. Melalui pemerhatian hasil kerja yang ditunjukkan saya mendapati responden mampu memikirkan sesuatu perkara dengan terperinci. Sebagai contoh apabila responden melukis perahu yang memperincikan pandangan di dalam perahu. Menggunakan dan memahami kosa kata yang lebih maju, menggambarkan dia memahami lebih banyak konsep dan objek.

4.7 Perkembangan Bahasa Dan Komunikasi

Terdapat pelbagai pendapat dan pandangan terhadap kanak-kanak pintar cerdas. Kriteria yang ketara yang dimiliki oleh kanak-kanak pintar cerdas ini adalah dari segi keupayaan berbahasanya dan kebolehannya melebihi kanak-kanak yang normal. Yahya Don (2005) menyatakan bahawa  pintar cerdas adalah kebolehan luar biasa, suka mengemukakan soalan bertalu-talu dan tidak perlu tunjuk ajar ketika belajar. Hassan Mohammad Ali (2006) menyatakan bahawa kanak-kanak pintar cerdas mempunyai kebolehan awal yang dapat dikesan iaitu kebolehan mengguna bahasa dengan fasih pada usia awal dan kebolehan membaca pada usia empat tahun.

 Mahani, Ramlah dan Shabuddin (2006), turut mengulas kecerdasan bahasa merangkumi pembacaan,  penulisan dan penggunaan bahasa sendiri dan bahasa asing. Kanak-kanak yang mempunyai kecerdasan ini juga boleh mengeja perkataan dan membaca dengan  mudah dan tepat, juga suka membaca buku jika ada masa terluang. Mohd. Shahrani Ahmad ( 2004: 67), merumuskan kecerdasan bahasa adalah kebolehan umum belajar dan memahami bacaan dengan baik dan cekap bersosial.
Dengan kata lain, kecerdasan bahasa yang diketengahkan oleh pakar di atas sangat berhubungkait dengan kajian yang dijalankan. Kebolehan berbahasa yang dimiliki oleh saudara Hanif amat baik kerana beliau bercakap menggunakan bahasa yang senang difahami tanpa dialek negeri kelahirannya. Komunikasi yang berkesan ditunjukkan oleh beliau tidak dapat disangkal lagi apabila beliau pernah menyertai Pertandingan Pidato Peringkat Sekolah. Beliau mempunyai kemahiran berbahasa yang baik semenjak usia lima tahun lagi apabila Berjaya memenangi Pertandingan Bercerita ketika di Sekolah Tadika.

5.0 CABARAN YANG DIHADAPI

Antara cabaran yang dihadapi oleh kanak-kanak pintar cerdas ialah boleh memahami secara intelektuel mengenai perkara-perkara abstrak tetapi tidak mampu menagani perkara-perkara yang melibatkan konsep emosi yang mana akan membawa mereka ke arah kebimbangan seperti kematian masa hadapan, seksualiti dan isu-isu yang lain. Perkembangan fizikal kanak-kanak pintar cerdas mungkin akan membataskan perkara atau kerja yang mereka berupaya menyelesaikannya melalui gambaran intelek mereka. Sikap teliti dan mementingkan kesempurnaan boleh mendorong mereka kearah kekecewaan. Mereka boleh terlibat sama dalam perbualan orang dewasa seperti isu-isu global untuk satu minit tetapi selepas itu mereka akan menangis kerana mainan kegemaran mereka diambil oleh seseorang.

Permasalahan dari segi pertuturan yang kehadapan dan kebolehan memberi alasan. Kanak-kanak pintar cerdas ini biasanya bersikap tidak mahu mengalah dalam apa-apa perkara. Walaupun begitu mereka tetap kanak-kanak dan memerlukan disiplin yang betul sengguh pun mereka itu bijak. Mereka boleh mempengaruhi orang lain. Ibu bapa dan orang dewasa lain perlu mangambil berat supaya mereka tidak menjadi orang yang mampu mempengaruhi orang lain kearah keburukkan. Mereka juga akan cuba bersikap tunjuk pandai terhadap ibu bapa dan guru.

Permasalahan dari segi sikap teliti dan kesempurnaan serta masalah emosi yang sensitif. Sikap kesempurnaan boleh membawa mereka kepada takut terhadap kegagalan sehingga mereka menjadi seorang yang putus asa. Mereka ini memerlukan data-data yang lengkap sebelum manjawap soalan-soalan yang diberikan, mereka sebenarnya lebih suka mencari jawapan sendiri kerana mereka malas untuk bersosial. Sikap sensitiviti dan juga perkembangan minda mereka mampu untuk memikirkan hal-hal seperti peperangan, kebuluran, pencemaran, ketidakadilan dan keganasan. Jika mereka terlampau memikirkan isu-isu ini mereka akan mengalami masalah ‘introverted’ dan mungkin menjurus kearah “existential depression”.

6.0 PENUTUP

Pelajar pintar cerdas adalah satu aset yang bernilai bagi sesebuah negara. Kegagalan membantu pelajar pintar cerdas bagi memperkembangkan potensi dan bakat mereka adalah satu kerugian yang besar kepada Negara dan masyarakat keseluruhannya. Sekiranya penekanan sebegini tidak diberi perhatian, dikhuatiri potensi dan bakat pelajar pintar cerdas ini akan terbantut dan lambat berkembang. Pengajaran guru yang tidak mencabar pemikiran mereka akan menyebabkan mereka cepat berasa jemu dan bosan, seterusnya akan menghilangkan minat belajar. Personaliti terutama watak, perangai, tingkah laku dan cara gaya pembelajaran mereka perlu difahami oleh guru bagi merancang strategi pengajaran yang sesuai.

Jika dipupuk bakat yang ada tentu dapat memperkemas dan memantapkan keistimewaan yang dikurniakan kepada mereka. Selain guru, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam usaha melahir dan mendidik anak pintar cerdas. Ibu bapa perlu mempunyai kemahiran serta keyakinan yang membolehkan mereka mempraktikkan amalan-amalan mendidik anak pintar cerdas. Salah satu kemahiran yang perlu digarap oleh ibu bapa adalah mengisi ruang kasih sayang sekeluarga.

Hubungan yang erat, suasana keluarga yang harmoni adalah antara perkara dan keperluan yang perlu wujud dalam memberi sokongan kepada anak-anak pintar cerdas. Situasi seperti inilah yang saya perhatikan berada di sekeliling saudara Hanif. Pengetahuan terhadap personaliti dan gaya pembelajaran kanak-kanak pintar cerdas sebenarnya memberikan lebih ruang kepada guru untuk memberi sokongan perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek. Ini membantu masyarakat sekeliling juga untuk menyedari bahawa kanak-kanak pintar cerdas harus dilayan seperti kanak-kanak biasa lain tetapi kelebihan yang dimiliki oleh kanak-kanak tersebut dipupuk dan dijaga supaya memberi manfaat kepada semua manusia.

7.0 RUJUKAN

Mohd Zuri Ghani. 2011. Pelajar Pintar Cerdas dan Berbakat. Unit Penyelidikan Asas Universiti Sains Malaysia.

Ann Magaret & Mohd Zuri Ghani, Pelajar Pintar Dan masalah Yang Dihadapinya dalam Jurnal Pendidikan Khas, DP. Ji/id 8, Bil. 1/2008

Mohd Zuri Ghani, Rahimi Che Aman, Nik Rosila Yaacob & Aznan Che Ahmad, Perbezaan Personaliti Ekstrovert dan Introvert Dalam kalanagn Pelajar Pintar Cerdas Akademik (PCA) Berdasarkan Gender, Jurnal Pendidik dan Pendidikan, Jil. 23, 111-122, 2008.

Mohd Rani Bin Zainal, Mathematics for Gifted Children, https://docs.google.com/document/d/1j9x7kwhp0hihB95AAVnIn0gU5OAIH6eNeh_oP4fb8/edithl=en_GB

Siti Zaleha. Penulisan : Ciri dan Keperluan Murid Pintar Cerdas, http://haryantigifted.blogspot.my/2011/04/penulisan-ciri-ciri-dan-keperluan-murid.html

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), https://cikgunuurul.wordpress.com/kemahiran-berfikir-aras-tinggi-kbat/


Tuesday, 1 December 2015

Penulisan Rujukan

1.  Buku Ilmiah :

    Contoh menulis :


    Asmah Haji Omar. (2008). Susur Galur Bahasa Melayu, Dewan bahasa Pustaka.


2. Jurnal

     Contoh menulis : 

     Zaharani Ahmad. (1989). Dialektologi generative dan kepelbagaian dialek melayu. Jurnal Dewan      Bahasa, 33(6), 402-414


3.  Akhbar

     Jika keratan akhbar merupakan bahan photostat, pastikan photostat juga nama dan tarikhnya.               Tulisan tangan untuk nama dan tarikhnya tidak diterima.
   

      Utusan Malaysia, 19 Jun 2015, halaman 4

      Jelita, Jun 2015, halaman 2-3


4.  Orang Sumber


     Puan Basyirah Ramli, 20 tahun, No. 21, Kampung Batas Lintang, 02700, Simpang Empat, Perlis.


5. Melawat Tempat Kajian

    Arkib Negara Malaysia, Jalan Duta, 50568 Kuala Lumpur.


6. Internet



8.  Televisyen

-          Tajuk program
-          Tarikh
-          Masa
-          Rangkaian

9.  Radio
      -  Tajuk program
      -  Tarikh
      -  Masa
      -   Rangkaian

10.  VCD/DVD

-          Tajuk program
-          Terbitan

11.  Sumber lain

-          Jenis sumber
-          Alamat/punca sumber



Semoga bermanfaat..

Monday, 30 November 2015

CABARAN DAN PENDEKATAN PENGAJARAN DALAM PENDIDIKAN PELAJAR PINTAR CERDAS DAN BERBAKAT

Oleh :

Haniff Asyraf
Khairul Anam

Kebolehan menguasai 7 bahasa


Genius Matematik, Sufiah Jusof


PENGENALAN

Pelajar pintar cerdas merupakan satu aset yang bemilai bagi sesebuah negara. Kegagalan membantu pelajar pintar cerdas bagi memperkembangkan potensi dan bakat mereka adalah satu kerugian yang besar kepada negara dan masyarakat keseluruhannya. Pengajaran guru yang tidak mencabar pemikiran mereka akan menyebabkan mereka cepat rasa jemu dan bosan, seterusnya akan mengurangkan minat belajar. Personaliti pelajar, khususnya watak, perangai, tingkah laku dan cara gaya pembelajaran mereka perlu difahami oleh guru bagi merancang strategi pengajaran yang sesuai. Falsafah Pendidikan Negara bermatlamat untuk memperkembangkan potensi individu pelajar secara menyeluruh dan bersepadu dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Oleh itu seluruh usaha dan langkah yang diambil dalam sistem pendidikan mestilah mengambil kira potensi dan keperluan setiap individu pelajar. Setiap individu pelajar yang normal semenjak dari usia bayi telah memiliki potensi dan bakat yang boleh diperkembang dan dipertingkatkan. Pendedahan awal dan penerimaan pelbagai sumber maklumat akan memberi impak yang besar dalam perkembangan dan pertumbuhan fizikal, kognitif, psikomotor dan emosi mereka.

Pelajar pintar cerdas mempunyai pelbagai kelebihan yang luar biasa. Mereka mampu mempelajari sesuatu dengan pantas dan mempunyai pelbagai kemahiran. Walau bagaimanapun, mereka juga mengalami beberapa masalah berkaitan dengan kepintaran mereka. Secara umumnya, sesetengah ciri-ciri dan personaliti pelajar pintar cerdas boleh menimbulkan beberapa masalah kepada kanak kanak tersebut, ibubapa dan guru. Antaranya ialah terdapat banyak faktor bukan kecerdasan yang mempengaruhi pencapaian akademik, seperti motivasi dan konsep kendiri. Contohnya masalah emosinya menjadikannya menghadapi masalah kemurungan, seorang yang murung tidak bermaya, kehilangan motivasi dan sasaran. Sudah tentu seorang pelajar yang murung tidak akan berjaya dalam akademik.

CABARAN YANG DIHADAPI OLEH INDIVIDU PINTAR CERDAS

Memiliki atau menjadi individu pintar cerdas dan berbakat ini sememangnya suatu rahmat daripada tuhan. Namun, walaupun mereka diberikan anugerah ini, mereka tetap berhadapan dengan isu dan cabaran dalam hidup mereka. Isu dan cabaran yang mereka hadapi ini sudah pastinya akan memberi kesan terhadap perkembangan mereka. Cabaran yang mereka hadapi ini memungkinkan kita akan kehilangan aset yang berharga buat agama, bangsa, dan negara. Berikut merupakan isu dan cabaran yang dihadapi oleh individu pintar cerdas dan berbakat.

       Sistem Pendidikan
Sistem pendidikan merupakan institusi yang memberikan pendidikan kepada semua individu sehingga mereka boleh memberikan sumbangan kepada negara semula. Pelbagai program telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha untuk menjaga murid pintar cerdas dan berbakat ini. Antaranya ialah Ujian Penilaian Tahap Satu yang difokuskan kepada murid tahun tiga. Namun, program ini hanya dijalankan selama lima tahun sahaja. Kini, negara boleh berbangga dengan program terbaru iaitu Permata Pintar kendalian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program ini bermula pada 17 Januari 2011. Terdapat empat program yang telah diperkenalkan iaitu Pintar Permata (akademik), Pintar Seni (seni), Pintar Insan (agama), dan Pintar Kurnia (autisme). Cabaran sistem pendidikan negara ialah pihak yang terlibat perlu memastikan setiap program yang dilaksanakan dengan mantap dan berkesan.


b                  Perbelanjaan

Perbelanjaan merupakan isu atau cabaran yang sangat signifikan dalam sesuatu perkara. Setiap program yang dilaksanakan menelan kos yang cukup tinggi dan telah menyebabkan beberapa program yang telah dijalankan sebelum ini terpaksa diberhentikan. Selain itu, kerajaan juga memerlukan kos yang tinggi untuk menghantar murid pintar cerdas ke luar negara demi memastikan mereka mendapat pendidikan yang sempurna. Seperti kes Sufiah Yusof, kerajaan telah menghantar beliau ke Universiti Oxford seawal 13 tahun. Namun, kita terpaksa berputih mata kerana permata tersebut hilang selepas belajar beberapa tahun belajar di sana. Akhirnya, beliau telah terjerumus dalam industri pelacuran di sana membabitkan kelas atasan. jelaslah bahawa hal ini telah memberi kesan kepada kerajaan dan negara.

c                  Guru dan Ibu Bapa

Ketiadaan strategi yang kreatif telah menyebabkan pendekatan yang digunakan untuk mengajar murid pintar cerdas ini tidak berkesan. Menurut Chiam (1992) menyatakan bahawa perhatian yang kurang dan tidak sempurna terhadap intelek akan memerangkap murid ini terperangkap dalam kumpulan berpencapaian rendah. Hal ini mungkin disebabkan oleh pengetahuan dan kemahiran guru yang kurang dalam mengedalikan murid pintar cerdas dan berbakat ini. Oleh itu, guru seharusnya diberikan pendedahan yang banyak untuk menangani perkara ini agar sesi PdP tidak membosankan murid pelajar pintar cerdas dan berbakat.

d                 Menentukan Bidang Yang Sesuai

 Perkembangan tidak boleh dirancang dan pembelajaran boleh jadi terpendam. Mungkin masanya belum tiba untuk mereka menjadi terserlah dalam bidang tertentu. Sejarah mencatatkan banyak individu yang tidak menonjol atau disalah anggap sebagai lembab oleh guru semasa kecil. Ini adalah akibat kadar pembelajaran mereka yang tidak sekata dan juga sikap guru yang tidak sensitif. Pelajar pintar cerdas menunjukkan kebolehan am yang lebih tinggi, tetapi ini tidak memadai tanpa menemui kekuatan sebenarnya yang tidak setanding oleh orang lain. Pengkhususan dan usaha berterusan adalah kunci kepada kejayaan dalam mana-mana juga lapangan. Mereka yang berjaya bukan berkebolehan dalam segala apa kerja, mereka hanya berjaya dalam bidang kekuatan mereka sendiri. Pekerjaan dan bidang yang tidak sesuai menjadikan seseorang yang pintar cerdas menjadi biasa.



e                Persekitaran

Faktor persekitaran seperti budaya keluarga, sumber keluarga, taraf sosio-ekonomi, pendedahan dan peluang merupakan faktor yang penting untuk mempercepatkan perkembangan. Antara faktor yang penting termasuklah guru yang memahami dan persaingan budaya sekolah. Budaya sekolah yang tidak mementingkan persaingan secara tidak langsung menjejaskan perkembangan mereka. Budaya yang lain termasuklah disiplin, keterbukaan, hubungan guru-pelajar dan budaya aktiviti ko-kurikulum. Walaupun pelajar pintar-cerdas yang popular dan memiliki konsep kendiri yang positif juga menghadapi masalah-masalah yang tertentu. Masalah-masalah ini adalah akibat keistimewaan yang ada pada mereka dan faktor persekitaran seperti kesedaran masyarakat yang rendah, guru yang tidak sensitif dan tidak prihatin. Konflik keluarga juga satu aspek yang perlu diberi perhatian oleh pengkaji akan datang. Oleh itu, ia amat penting bagi ibubapa dan guru untuk mengenalpasti masalah yang mungkin timbul seperti yang diterangkan seterusnya.

f                  Masalah Dalaman

i.                    Kekosongan jiwa
Mereka mampu membaca buku pada tahap yang lebih tinggi daripada rakan sebaya mereka. Mereka diiktiraf sebagai genius oleh semua orang, berpengetahun yang luas, pemikiran yang tajam, pemahaman yang luar biasa dan sebagainya. Di sebalik kepintaran mereka, mereka sebenarnya menghadapi krisis mental, krisis identiti dan tidak mempunyai minat yang khusus. Mereka tidak memahami bagaimana dan di manakah mereka patut menyalurkan kecerdasannya. Mereka keliru dengan masa depan mereka. Jiwa mereka kosong dan cetek, tidak ada emosi, seolah-olah mereka tidak pernah merasa, wujud dan hidup. Jiwa dan hidup mereka bagai kapal tanpa kelasi, terbawa-bawa arus yang tidak menentu. Setakat ini, semua perbincangan yang menuju kepada golongan pintar cerdas seolah-olah menggambarkan golongan ini adalah sempurna dan tinggi pencapaiannya secara keseluruhan seperti bercita-cita tinggi, bertanggungjawab dan dedikasi. Gambaran ini sebenarnya membahayakan. Perkembangan yang tidak seimbang adalah sesuatu yang biasa bagi mereka. Kekosongan jiwa ini bermaksud, mereka hilang hala tuju. Mereka merasakan hidup ini tidak bermakna dan nyawa mereka tidak bernilai. Walaupun keadaan ini berlaku kepada golongan pintar cerdas yang menghadapi masalah kemurungan secara sementara, ia adalah lebih kerap berlaku pada individu-individu yang tertentu, dan ia belaku secara kronik pada golongan ini. Seseorang yang tinggi pencapaian matematik atau bahasa mungkin cetek dari segi pemikirannya. Kecerdasan eksistensialisme (kewujudan), kecerdasan intrapersonal yang rendah menjadikan mereka susah menangani masalah sosioemosi. Mereka tidak berfikir panjang dan mensia-siakan bakat yang ada pada mereka disebabkan mereka tidak mengenal apa yang dikejar-kejar dalam hidup mereka. Mereka berasa keliru dengan apakah makna hidup ini dan menimbus kekosongan jiwa ini dengan mengejar nama, kedudukan, prestij dan kebendaan. Masalah mereka tidak dapat diatasi dengan mencapai kejayaan ini, sebab ia tidak memberi kepuasan sebagaimana yang dijangka. Siapakah golongan yang menghadapi masalah ini? Mereka mungkin bercita-cita tinggi tanpa memberi komitmen kepada apa yang ingin dicapainya. Mereka mungkin mengatakan dia ingin menjadi Bill Gate atau memasuki Universiti yang ternama tanpa menunjukkan usaha dan pengetahuan yang sewajarnya. Selain daripada itu, kadar membunuh diri dalam kalangan mereka juga tinggi, selain tanda-tanda masalah emosi yang lain seperti kemurungan, gaya pemakanan yang tidak seimbang, penyalahgunaan dadah atau arak, hubungan seksual yang rambang dan lain-lain. Perkembangan yang menyeluruh adalah sangat penting bagi golongan ini sebagai faktor pelindung. Kepentingan kaunseling di sini bukannya untuk memahami masalah mereka, tetapi membantu mereka memahami tentang diri mereka. dan ini mungkin disebabkan oleh perkembangan kecerdasan intrapersonal yang tidak matang.

ii.                  Masalah kesempurnaan dan emosi yang sensitif

Sikap kesempurnaan boleh menyebabkan mereka takut kepada kegagalan sehingga mereka menjadi seorang yang putus asa. Pelajar pintar cerdas memerlukan data-data yang lengkap sebelum manjawab soalan-soalan yang diberikan. Mereka lebih suka mencari jawapan sendiri kerana mereka tidak suka bersosial. Sikap sensitif dan perkembangan minda mereka membolehkan mereka memikirkan hal-hal seperti peperangan, kebuluran, pencemaran, ketidakadilan dan keganasan. Jika mereka terlampau memikirkan isu-isu ini mereka akan mengalami masalah “introverted” dan mungkin menjurus kearah “existential depression”

g                      Keyakinan Murid

Segelintir individu pintar cerdas selalu bergelut dengan isu masalah keyakinan. Konsep kendiri mereka tidak menentu. Mereka mungkin sangat yakin pada satu masa dan menjadi tidak yakin pada masa lain (sifat kompleksiti). Apa yang menyebabkan situasi ini berlaku walaupun mereka memiliki kelebihan yang nyata dalam persaingan? Ini adalah akibat daripada sikap kesempurnaan yang tidak sihat. Mereka menjangka terlalu tinggi terhadap pencapaian mereka sendiri. Jangkaan yang tinggi ini adalah salah satu pendorong kuat kepada pencapaian tinggi. Namun begitu, ia juga membawa tekanan yang besar kepada diri mereka sendiri. Jurang yang besar antara jangkaan dan kebolehannya yang nyata menjadikannya merasakan dirinya tidak sempurna. Untuk membantu mereka dalam masalah ketidaksempurnaan ini, guru dan ibubapa perlu mengingatkan mereka bahawa mereka tidak perlu menjadi sempurna pada setiap masa. Kesempurnaan adalah biasa dalam kalangan pintar-cerdas, tetapi “neurotic perfectionist” menjadi satu masalah psikologi. Ini kerana ia menjejaskan konsep kendiri pelajar pintar cerdas dan memberi kesan negatif kepada hubungan perseorangan seperti cenderung menyalahkan orang lain apabila gagal, sukar bekerjasama, selalu menyalahkan sendiri dan sebagainya. Ia adalah benar bahawa golongan pintar cerdas memiliki kelebihan dalam persaingan. Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna mereka akan berasa yakin diri, sebab mereka mungkin tidak membandingkan diri dengan orang lain. Sebagaimana yang kita ketahui, golongan ini mendukung sistem nilai yang tersendiri, mereka mungkin tidak berminat membandingkan dirinya dengan orang lain dari segi pencapaian akademik, kerjaya dan sebagainya. Sebaliknya, mereka seolah-olah membuat sesuatu akibat dorongan dalaman sendiri. Dengan erti kata lain, mereka membandingkan diri mereka sendiri dan jangkaan yang tinggi selalunya memberi tekanan kepada mereka sendiri. Kesempurnaan diri merupakan satu motivasi yang kuat dalam mempengaruhi tingkah laku mereka. Semua individu mempunyai keupayaan yang tersendiri. Pelajar pintar cerdas tidak terkecuali daripada keunikan tersebut. Sebagai contoh, seseorang yang mencapai tahap yang tinggi dari segi kecerdasan bahasa dan logik matematik mungkin mempunyai kelemahan dalam kemahiran fizikal seperti mengimbangkan badan, kordinasi badan ataupun tidak mempunyai bakat dalam melukis atau menyanyi. Jika pelajar ini diletakkan dalam situasi di mana dia perlu menggunakan kecerdasan kinestetik, muzik dan visual ruang, dia mesti berasa malu dan janggal kerana mempunyai maruah diri yang tinggi dan bersifat sensitif. Perkembangan yang tidak seimbang ini mungkin boleh menimbulkan pelbagai masalah dalam kehidupan mereka. Pada masa yang sama, keyakinan yang terlalu tinggi juga menjejaskan perkembangan mereka. Memandangkan mereka mempunyai kebolehan akademik dan kebolehan mental yang lain, sesetengah individu menjadi terlampau yakin dalam dunia yang berorientasikan akademik. Akibatnya, mereka tidak nampak kelemahan sendiri dan hidup dalam dunia sendiri. Masalah keyakinan (terlampau yakin atau inferioriti) ini akan menjejaskan pandangan orang lain terhadap diri mereka.








PENDEKATAN PENGAJARAN UNTUK PELAJAR PINTAR CERDAS

Secara umumnya, sebenarnya tiada satu pun pengajaran khas yang boleh dianggap sebagai pendekatan yang mantap untuk digunakan oleh seseorang guru. Seseorang guru seharusnya mempunyai pemikiran yang kreatif untuk menarik minat seseorang pelajar pintar cerdas dan tidak menggunakan kaedah pengajaran tradisional. Khadijah M. Shahid (1992) yang membuat kajian ke atas beberapa pelajar pintar cerdas mendapati bahawa mereka mudah berasa bosan dan kecewa dengan suasana di sekolah kerana kebanyakan guru yang mengajar menggunakan kaedah tradisional, yang umumnya kurang memahami kehendak dan cita rasa mereka. Berikut merupakan pendekatan yang telah dicadangkan :

a.      Pendekatan koperatif
Pendekatan koperatif merupakan pendekatan yang berpusatkan kepada murid. Pendekatan ini memerlukan para pelajar bekerjasa untuk menyelesaikan setiap tugasan yang diberikan oleh guru. Persekitaran yang membina ini akan menyebabkan pelajar pintar cerdas lebih bersemangat dan tidak bosan. Menurut Chiam (1992), pelajar-pelajar pintar cerdas ini akan mengalami kekecewaan jika mereka tidak mendapat galakan dan rangsangan yang mencabar dalam bilik darjah. Oleh itu, guru wajar menyediakan PdP yang tidak hanya menguji intelek pelajar tetapi menyentuh aspek perkembangan lain seperti bersosiolisasi, berkomunikasi, emosi, dan tingkah laku.

b.      Pendekatan Inkuiri

Pendekatan inkuiri merujuk kepada pendekatan berpusatkan murid. Pendekatan ini memerlukan murid membuat penerokaan terhadap tugasan yang telah diberikan oleh guru. Pendekatan ini sangat sesuai kepada murid pelajar pintar cerdas kerana mereka sukakan cabaran untuk menjana pengetahuan mereka. Aktiviti-aktiviti dirancang sebegitu rupa supaya murid berpeluang melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran (Pusat Perkembangan Kurikulum 1994). Hal ini akan menyebabkan pelajar pintar cerdas akan berkongsi pengetahuan (intelek), memupuk nilai-nilai murni (rohani), bertimbang rasa (emosi) dan mempertingkatkan kemahiran berkomunikasi (sosial) bersama –sama dengan rakan – rakan yang lain dalam kumpulan. Oleh itu, pendekatan inkuiri ini juga sesuai digunakan oleh guru untuk mengajar murid pintar cerdas dan berbakat ini.

c.       Pendekatan Kolaboratif

Pendekatan kolaboratif pula merujuk kepada hubungan kerjasama antara guru pendidikan khas dengan guru aliran perdana. Pendekatan ini sangat penting kerana suasana PdP yang tidak kreatif akan menyebabkan murid pintar cerdas akan hilang minat untuk belajar. Ketiadaan strategi ini mungkin berpunca daripada kekurangan pengetahuan dan kemahiran guru pelajar aliran perdana untuk mengendalikan murid ini. Oleh itu, kerjasama ini dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru tersebut. Guru – guru boleh bekerjasama dalam proses penyediaan rancangan pengajaran, objektif, aktiviti yang sesuai untuk pelajar ini.

d.      Pendekatan Bermain Sambil Belajar

Kaedah bermain adalah kaedah pembelajaran yang mendekatkan diri pelajar kepada pengalaman sebenar secara langsung, terutama apabila mengajar konsep atau kemahiran. Apabila digunakan secara berkesan boleh menambah respon murid dan kepekaan kepada perasaan orang lain, iaitu murid tidak akan dapat memahami atau mengaplikasikan prinsip yang dipelajari dengan berkesan dan bermakna kecuali diberi peluang menyaksikan sendiri situasi sebenar dan menilai hasil aplikasi mereka dalam situasi bermasalah. Murid berpeluang dan boleh mempertingkatkan kebolehan empati, menambah kepekaan proses interaksi dan memiliki kebolehan menganalisis situasi secara objektif. Kaedah bermain sambil belajar merupakan situasi yang dilakukan secara spontan dengan arahan dan bahannya diambil daripada kisah benar. Untuk kaedah ini digunakan dengan berkesan, beberapa proses asas harus diikuti iaitu:

·         Pengenalan dan kesedian murid

Murid berada dalam keadaan baik untuk belajar apabila mendapati reaksinya terhadap situasi sebelum ini tidak memuaskan. Maka dengan ini murid akan bermotivasi untuk mencuba cara yang baru. Contohnya membentangkan situasi bermasalah dengan beberapa cara bereaksi terhadapnya dan murid memilih cara bereaksi jika dia terlibat dalam situasi itu. Lepas itu murid dikehendaki menunjukkan empati atau yang boleh membina perasaan empati. Misalnya, jika rakan kamu cedera selepas menggunakan alatan tajam, apakah yang perlu kamu lakukan dan bagaimana kamu menunjukkan tanda simpati dan cara membantunya.

·         Mendefinisikan situasi dan peranan
Situasi dibentuk oleh murid dengan bimbingan guru. Namun dalam pendidikan khas, guru haruslah membentuk situasi dan memberi arahan yang lebih jelas supaya murid lebih memahami situasi serta dengan bimbingan berterusan. Selepas pemilihan murid-murid yang terlibat, maka mereka akan melakukan lakonan itu. Guru haruslah membantu murid mendapatkan pengertian tentang masalah dan berasa selesa dalam peranannya.

·         Menyediakan Kelas untuk Pemerhatian dan Analisis

Fasa ini melibatkan mengorientasikan murid yang memerhati supaya mereka tahu tanggungjawab mereka dan akan melibatkan diri secara aktif dalam pengalaman pembelajaran. Kemudian murid diminta memberi pendapat tentang isu yang dilakonkan.

·         Bimbingan

Guru membimbing murid khas dalam lakonan yang ditentukan. Murid melakonkan watak contohnya pekebun sayur di kebun sayurnya yang menghadapi masalah dimusnahkan oleh haiwan ternakan. Pelajar dibimbing melakonkan setiap watak, pekebun, tuan punya kebun, tuan punya haiwan dan watak lain. 

·         Analisis dan perbincangan

Pada peringkat ini, guru dan murid membuat analisis dan perbincangan tentang keseluruhan tema yang dilakonkan dan mengeluarkan daya kreativiti penyelesaian masalah secara spontan. Guru dan murid akan bersoal jawab tentangnya.

e.       Pendekatan Kumpulan, Kelas, dan Individu

                                                              i.      Pendekatan kumpulan

Pendekatan berkumpulan bermaksud murid bekerja dalam kumpulan. Walaupun berkumpulan setiap murid mengekalkan individualitinya dan dibantu untuk menyumbang idea kepada kumpulan. Setiap murid dalam kumpulan bertanggungjawab berkongsi idea dan memberi sumbangan yang baik, bukan mengikut sahaja. Guru memainkan peranan penting lebih-lebih lagi bagi murid pendidikan khas. Guru haruslah memastikan murid boleh mengalami pembelajaran bertujuan dan matlamat serta objektif kumpulan secara beransur dan penilaian diadakan berterusan. Guru mestilah berulang-ulang kali menyatakan objektif kerja secara kumpulan, kelas dan individu. Ini supaya murid memahami peranan dan akan meningkatkan kerjasama untuk kejayaan kerja kumpulan. Pendekatan kumpulan sebagai satu kaedah pengajaran membantu murid menjadi bebas serta yakin dan pada masa yang sama belajar bahawa seseorang itu bergantung antara satu sama lain. Ia sesuai sebagai satu cara untuk mempertingkatkan penyesuaian sosial. 

                                                            ii.      Pendekatan kelas

Pendekatan pengajaran kelas pula, guru akan berada di hadapan kelas dan mengajar. Murid akan memberi perhatian, membuat tugasan atau menulis dan lain-lain. Selepas itu, pelajaran baru bermula, guru akan bertanyakan pelajaran lepas dan meneruskan dengan maklumat baru, memberi sedikit kerja kelas, menekankan fakta penting, menyoal, memberi tugasan untuk hari berikutnya, menjawab soalan murid dan pelajaran berakhir. Walau bagaimanapun, dalam pendidikan khas, guru banyak membimbing murid dalam tugasan ini, memberi tugasan yang mampu dilakukan oleh murid. Apabila murid faham akan pelajarannya, maka penguasaan ilmu mereka akan diuji melalui kerja-kerja latihan.

                                                          iii.      Pendekatan individu

pendekatan individu pula menekankan rancangan untuk sesuatu pelajaran itu mengambil kira perbezaan murid. Setiap murid bekerja dengan bebas dan meneima bantuan apabila mereka memerlukannya. Murid akan melalui pembelajaran mengikut kadar kebolehannya. Jadual juga dirancang untuk mereka, tugasan akan disusun supaya murid ini akan bekerja berterusan. Ada beberapa kaedah untuk pengajaran individu seperti:

i)         Menggunakan panduan yang rancangannya ditulis mengarah murid dalam pembelajarannya. Dalam panduan itu, guru memberi objektif serta aktiviti yang disusun mengikut urutan supaya pada akhir aktivti itu, objektif pembelajaran tercapai. Dengan cara ini, murid boleh membuat tugasan mengikut kadar kebolehannya. Melalui kaedah ini, segala arahan dan tugasan sentiasa ada dan panduan belajar menyatakan apa yang perlu dilakukan. 
ii)       Bahan dan program juga merupakan kaedah yang digunakan dalam pendekatan individu. Setiap langkah mempunyai sedikit matlamat, disusuli dengan soalan dan meminta respon daripada murid. Apabila murid memberi respon, dia akan ditunjukkan dengan jawapan yang betul yang memberi peneguhan kepada tindakan murid tersebut. Maklumat baru, kemahiran, saranan dan cadangan dimasukkan dalam program itu.
iii)      Memberi tugasan individu yang sesuai dengan tahap murid. Tugasan individu ini berbeza dari segi kuantiti dan kualiti mengikut kebolehan dan keperluan murid. 
iv)     Menggunakan tahap kesukaran dalam program pengajaran dan juga menggunakan tahap jangkaan dalam memperihalkan kemajuan atau kualiti murid. Apabila murid diberikan tugasan mengikut tahap kesukaran tertentu, maka setiap tahap itu menjadi tahap jangkaannya. Murid itu diharap akan mencapai kualiti dan kuantiti kerja yang dibentuk untuk tahap itu dan kemajuannya dilapor secara berterusan.

f.       Pendekatan Berasaskan Penyelidikan

Meese (2001) dalam bukunya “Teaching Learners With Mild Disabilities Intergrating Research and Practice” Second Edition, menyenaraikan beberapa pendekatan berasaskan penyelidikan, iaitu:

a) Pengajaran Secara Terus

Pengajaran ini berprinsipkan penilaian secara berterusan dan dibuat secara langsung dan menekankan kepada komponen-komponen kemahiran tertentu dalam memberi tugasan kepada murid. Ia juga berfokuskan kepada kecekapan guru pendidikan khas dalam merealisasikan teknik pengajaran untuk membantu meningkatkan pencapaian murid.

Pendekatan ini telah diperkenalkan oleh Bereither dan Engelmann (1996). Pengkaji ini telah menggunakan pengajaran secara berstruktur dan pendekatan secara berulang-ulang dalam mengajar kemahiran asas kepada pelajar. Antara kebaikan pendekatan ini ialah, ia jelas, pengajaran dapat dijalankan dengan teratur, berfokuskan kepada kemahiran tertentu sahaja, cepat dan sistematik serta dapat memberi maklum balas yang baik kepada murid. 


b) Pengajaran Strategi Kognitif

Murid khas dengan ketidakupayaan ringan merupakan murid yang agak sukar untuk mengaplikasikan apa sahaja kemahiran dan tingkah laku yang dipelajari di dalam kelas ke dalam situasi baru atau aktiviti di luar kelas. Oleh itu, dengan adanya gabungan strategi pengajaran seperti modifikasi tingkah laku kognitif, strategi pengajaran dan pembelajaran dan strategi pengajaran metakognitif dapatlah membantu murid memberi tumpuan, tujuan, memilih strategi yang sesuai dan efektif dalam menjalankan tugas dan dapat mengawal perkembangan individu.

C) Bimbingan Rakan Sebaya
Penglibatan rakan sebaya adalah amat penting dalam mempengaruhi pembelajaran murid khas di dalam kelas. Ia juga dapat meningkatkan pencapaian murid dengan memaksimumkan masa dalam proses pengajaran dan pembelajaran akademik. Apa yang penting adalah interaksi antara mereka dalam menjalankan tugas seperti mewujudkan kerjasama antara mereka. Guru akan memainkan peranan sebagai perancang, melatih murid untuk berkongsi dengan rakan-rakan sebaya agar dapat memastikan objektif pengajaran dan pembelajaran tercapai.

d) Pembelajaran Berasaskan Keadaan Sebenar

Pendekatan ini akan dapat membantu murid dengan ketidakupayaan ringan mengaplikasikan apa yang telah dipelajari dalam masalah yang dihadapi dalam keadaan sebenar atau aktiviti luar kelas seperti perkebunan. Murid akan lebih bersedia untuk menghadapi keadaan sebenar apabila murid tersebut telah didedahkan dengan pembelajaran yang berbentuk pengalaman sebenar yang akan berlaku di luar kelas apabila proses pengajaran pembelajaran dijalankan di dalam kelas.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, kita berharap agar pelajar pintar cerdas dan berbakat ini dijaga dengan baik bagi menjamin kesejahteraan agama, bangsa dan negara. Negara kita memerlukan golongan ini untuk memacu pembangunan negara dalam semua bidang yang mereka ceburi. Sewajarnya, kita harus menjaga individu ini bukan hanya dalam akademik tetapi juga dalam aspek emosi, akhlak, dan jati diri mereka. Oleh itu, kita berharap agar para cendekiawan Malaysia merintis usaha – usaha untuk menyelamatkan permata ini daripada hilang dalam peredaran masa.

RUJUKAN

Mohd Zuri Ghani.2011. Pelajar Pintar Cerdas dan Berbakat. Unit Penyelidikan Asas Universiti sains Malaysia.
Ann Magaret & Mohd Zuri Ghani, Pelajar Pintar Dan masalah Yang Dihadapinya dalam Jurnal Pendidikan Khas, DP. Ji/id 8, Bil. 1/2008